Make your own free website on Tripod.com
.

 
Solat Tarawih gopoh ibarat pencuri

SOLAT Tarawih adalah keistimewaan Ramadan. Ia adalah solat sunat khusus dikerjakan pada malam Ramadan dan tidak pada bulan lain. Beruntunglah orang yang dapat mengerjakannya dan rugilah orang yang lalai.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah ganjaran Allah kepada setiap hamba-Nya yang berusaha menghidupkan malam Ramadan dengan solat Tarawih dan ibadah sunat lain.

Solat Tarawih bererti solat yang merehatkan. Bersesuaian dengan namanya, umat Islam tidak seharusnya mengerjakannya dalam keadaan kelam-kabut atau tergopoh-gapah semata-mata ingin cepat selesai.

Umat Islam seharusnya mengerjakan solat itu seperti yang dilakukan Rasulullah dan sahabat iaitu dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergopoh-gapah untuk menyelesaikannya.

Mengerjakan solat sunat Tarawih bukan sesuatu yang mesti dikerjakan dalam waktu singkat. Ia sebagaimana juga solat lain yang harus dihayati dan dikerjakan dalam keadaan khusyuk dan tenang.

Allah berfirman bermaksud: “Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib).” (Surah Mukminun, ayat 1-2).

Sebaliknya, orang yang menunaikan solat sunat Tarawih dalam keadaan kelam-kabut akan hilang penghayatan dan khusyuk. Mereka ini disifatkan oleh Rasulullah saw sebagai pencuri.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat.” Maka sahabat pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana mereka mencuri daripada solat mereka?”

Rasulullah menjawab: “Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah).” (Hadis riwayat Ahmad, al-Tabrani dan Ibn Khuzaimah).

Dalam satu hadis lain, Rasulullah melarang umatnya mengerjakan solat seperti burung yang mematuk makanan iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa'i).

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Allah tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud.” (Hadis riwayat al-Tabrani).

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengerjakan solat sunat Tarawih dalam keadaan penuh khusyuk, tenang dan tidak kelam-kabut sebagaimana yang dilakukan Rasulullah supaya solat kita tidak menjadi sia-sia.

Cara solat Rasulullah seperti diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib r.a, katanya: “Aku mengamati solatku bersama Nabi Muhammad. Maka, aku dapati Baginda berdiri, rukuk, bangkit selepas rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta Baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu ingin mengerjakan solat, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuk hingga kamu benar-benar berada dalam keadaan itu dan bangkit berdiri. Selepas itu sujud hingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkit untuk berada dalam keadaan duduk antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan hingga selesai solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, rebutlah peluang untuk mengerjakan ibadah khusus pada Ramadan ini dengan hati ikhlas, tenang dan sempurna. Dengan itu, semoga kita dapat meraih segala fadilat dan anugerah yang Allah janjikan.
 


 
 

::Balik::

 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004