Make your own free website on Tripod.com
.

 
Puasa cegah penyakit dari perut

RAMADAN mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi untuk dinilai satu persatu agar kita boleh bertanya kepada diri apakah kita sudah mencapai hikmat itu atau sebaliknya.

Antara hikmah yang diketahui ialah berpuasa dapat menyihatkan badan dan mencegah daripada penyakit yang berpunca daripada perut bersesuaian dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seburuk-buruk bekas apabila dipenuhkan adalah perut”.

Sabda Rasulullah lagi mengenai kaedah diet yang boleh diamalkan melalui amalan puasa ialah: “Kami adalah satu kaum yang mana kami tidak makan sehingga kami benar-benar lapar dan apabila kami makan, kami tidak makan sehingga kenyang”.

Hikmah yang kedua ialah menyedarkan mengenai nikmat Allah supaya kita sentiasa dalam keadaan bersyukur. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Jika sekiranya kamu bersyukur maka aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu dan jika kamu kufur nikmat, maka sedarlah bahawa azab-Ku amat pedih”.

Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddain membahagikan peringkat orang yang berpuasa kepada 3 iaitu:

1. Puasa umum

2. Puasa khusus

3. Puasa khususul khusus

Peringkat pertama adalah orang yang berpuasa dengan cara yang paling mudah dan hanya melengkapkan syarat sah saja.

Mereka hanya mengelak daripada perkara yang membatalkan puasa tetapi anggota lahir dan batinnya masih tidak dapat dikawal.

Peringkat kedua adalah mereka yang dikenali sebagai al-muflihun atau al-faizun, yang dapat mengawal anggota lahir dan batin dari melakukan perkara dikeji Allah, namun masih tidak dapat melupakan perkara dunia yang halal dan harus daripada hati kecil mereka.

Ini tidak mendatangkan dosa dan mencacatkan pahala puasa mereka walaupun dianggap dosa bagi golongan ketiga.

Peringkat yang tertinggi ialah golongan muqarrabin yang terlalu hampir dengan Allah, mereka lupa kepada segala kesenangan dunia yang lebih banyak melalaikan dari mengingati Allah.

Kesan puasa mereka jelas kelihatan dengan semakin bertambahnya amal ibadat, semakin pemurah untuk berbelanja di jalan Allah dan sebagainya. 

Apakah kita yang bertahun-tahun berpuasa hanya ingin terus berada pada tahap yang pertama dan apakah kita tidak mahu membebaskan diri daripada golongan yang disebut Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa sedangkan tidak ada apa yang diperoleh daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.”
 


 

::Balik::

 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004