177.Bayi dilahirkan suci bersih

SAYA selalu mendengar orang kata, jika mahu mengambil anak angkat, perlu tahu keturunannya dulu. Alasannya supaya perangai buruk ayah atau ibunya tidak akan diwarisi si anak. Adakah ini benar?

MUSYKIL, Perak

JAWAPAN

Keinginan saudara untuk mengambil anak angkat adalah sangat murni. Pendapat yang saudara dengar itu sebenarnya tidak tepat kerana dalam Islam setiap kita tidak akan dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan orang lain.

Perkara ini jelas berdasarkan ayat 164 surah al-An’am yang bermaksud “Seseorang itu akan dipertanggungjawabkan kecuali atas kesalahannya sendiri, tidak ada dosa orang lain yang ditanggung oleh mereka yang tidak melakukannya.”

Setiap bayi yang dilahirkan ke dunia ini bersih dan suci sifatnya. Ini bermakna dia tidak mewarisi sifat buruk ayah atau ibunya.

Sebenarnya, baik atau buruk seseorang itu bukan kerana baka, tetapi pengaruh persekitarannya.

Sebagai ibu dan bapa angkat, kita perlu memberi persekitaran baik kepada anak. InsyaAllah, mereka akan membesar sebagai insan yang baik mengikut didikan kita.
 

 

Balik

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004