184.Kiblat salah solat tidak sah

KETIKA bekerja di sebuah kedai jahitan milik bukan Islam, saya pernah menunaikan sembahyang dalam bilik yang sangat kecil.

Walaupun tidak tahu arah kiblat, tetapi saya nekad kerana tidak mahu meninggalkan solat. Sahkah sembahyang saya?

MIN, Tanjung Malim

JAWAPAN

Ulama sependapat syarat sah solat adalah menghadap ke arah kiblat yang betul, ertinya solat yang menghadap ke arah lain tidak sah, kecuali ketika keadaan ketakutan (misalnya kerana peperangan) atau solat dalam perjalanan, seperti dalam kapal terbang.

Bagaimanapun, mengikut Imam Shafie, sesiapa yang berasakan kedudukan kiblatnya salah selepas bersolat, hendaklah dia mengulang solatnya selepas yakin arah kiblat yang betul.

Manakala jika dia menyedari perkara itu ketika menunaikan solat, seseorang itu boleh mengubah arah kiblat dengan segera.

Perlu juga diingatkan, jika seseorang tidak tahu arah mana kiblat kerana ada di negara bukan Islam misalnya, dia boleh berijtihad, iaitu mengagak mengikut fahamannya seperti melihat arah matahari umpamanya.

Satu cara untuk menentukan arah kiblat adalah dengan bertanya penduduk setempat, menggunakan kompas atau jika ia tidak mampu dilakukan, bolehlah membuat agakan dengan melihat arah matahari terbenam.
 

 

Balik

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004