193.Ibu bapa marah bekas tunang

SAYA pernah bertunang dengan lelaki panas baran. Kerana cemburu, dia pernah memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya dan emak, tetapi sebelum balik, dia meminta maaf atas keterlanjurannya. 
Namun, emak dan abah tidak boleh menerima hakikat ini dan memutuskan pertunangan kami. Bekas tunang saya juga berkali-kali meminta maaf.

Bagaimanapun, sehingga kini kami masih berhubungan dan hal ini diketahui emak dan ayah. Emak berkata, sembahyang saya tidak diterima Allah jika tidak mendengar kata orang tua.

Ayah pula mengugut tidak mahu mengakui saya anak jika saya teruskan hubungan ini. Apa harus saya lakukan? Adakah benar semua amalan saya tidak akan diterima kerana ingkar cakap orang tua? Benarkah perkahwinan yang tidak direstui tidak akan bahagia?

Siti, Selangor
 
 

JAWAPAN

Sikap tunang saudari yang panas baran sampai mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua memang akan meninggalkan kesan mendalam pada mereka, walaupun selepas dia meminta maaf.

Reda Allah tergantung pada reda ibu bapa, begitu juga Allah akan murka jika ibu bapa marah kepada anak.

Carilah reda Allah melalui reda ibu bapa dan perkahwinan yang berkat ialah yang direstui mereka. Antara cinta pada ibu bapa dan kekasih, sudah tentu cinta ibu bapa patut didulukan kerana hubungan antara anak dan ibu bapa tidak akan putus sepanjang hayat.

Cubalah berbincang dengan lembut mengenai hal ini. Seboleh-bolehnya jangan melakukan perkara yang boleh mencetuskan kemarahan mereka kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah saudari.
 

 

Balik

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004