196.Madu ugut bunuh diri

SAYA isteri kedua dan ada pekerjaan tetap. Masalahnya, saya sering diganggu isteri pertama yang sering menelefon tempat kerja untuk memburuk-burukkan saya. Saya masih boleh bersabar dengan gangguan itu sehingga beliau mengugut membunuh diri jika suami tidak menceraikan saya dengan talak tiga. 
Dia memaksa suami menandatangani surat persetujuan menceraikan saya di depan saudara mara. Jika tidak, dia mahu membunuh diri. Untuk menyelamatkan keadaan, suami saya terpaksa menandatangani surat itu.

Berkali-kali suami menegaskan, dia berbuat demikian untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan bukan dengan kerelaannya.

Dengan surat itulah dia menjaja cerita kami sudah bercerai dan sering mengatakan kami berzina apabila suami datang ke rumah. Hal ini sangat memalukan dan kami sudah merujuk kepada beberapa ustaz, tetapi mereka mengatakan perceraian itu tidak sah. Kami diminta membawa surat berkenaan ke pejabat kadi untuk tindakan seterusnya.

Apa pendapat Datuk mengenai kes saya? Adakah perceraian dengan menandatangani surat itu sah? Apa perlu saya lakukan untuk menghindari gangguan madu saya?

Intan, Kuala Lumpur
 
 

JAWAPAN

Perceraian yang dilafazkan suami secara terpaksa dalam keadaan dia mengatakannya demi menyelamatkan isteri pertama daripada membunuh diri adalah tidak sah. Apalagi pihak suami mengesahkan dia tidak berniat menceraikan puan.

Hanya suami sebagai ketua rumah tangga dapat bertindak dalam hal ini. Sebagai suami, dia sepatutnya bertegas dalam hal ini dan menyatakan kepada isteri pertama bahawa beliau tidak berniat menceraikan puan. Malah, suami juga bertanggungjawab mendidik isteri (pertama dan kedua) supaya tidak melakukan perkara yang boleh memecahbelahkan institusi perkahwinan.
 

 

Balik

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004