198.Suami liat dirikan solat

SAYA sudah berkahwin lebih 10 tahun. Suami saya baik dan bertanggungjawab, tetapi dia jarang mengerjakan solat. Puas saya menasihatinya, namun nasihat saya ibarat mencurah air ke daun keladi. Bagaimanapun, dia tidak pernah menghalang saya untuk menunaikan ibadat. Namun, keadaan ini membuat hati saya tidak tenang. Apakah yang harus saya lakukan? 
Sarah, 
Kuala Langat, Selangor

JAWAPAN

Solat adalah tiang agama. Orang yang tidak bersolat sama seperti meruntuhkan agamanya. Sikap suami yang liat mengerjakan solat, besar kemungkinan kerana tiada latihan sejak kecil.

Maka sebagai isteri, puan bertanggungjawab mengingati suami.

Apabila sudah mengingati dan menyuruhnya, tanggungjawab dan kewajipan puan terlaksana, walaupun suami tidak mengendahkannya. 

Jika suami masih tidak melakukan solat, dia yang menanggung dosa.

Sebenarnya sukar untuk mengubah tabiat seseorang, apatah lagi apabila usia sudah meningkat, kecuali dengan keinginannya sendiri. 

Bahkan, Allah berfirman yang bermaksud, “Bahawa Allah tidak akan mengubah seseorang, melainkan selepas dia sendiri yang mengubahnya.”

Sebagai isteri, banyakkanlah berdoa kepada Allah supaya suami terbuka hati untuk mendekati Allah.
 

 

Balik

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004