200.Isteri boleh tebus
talak
SAYA dan suami tidak tinggal sebumbung
sejak hampir setahun lalu. Dalam tempoh itu, suami tidak pernah beri nafkah.
Selepas bertengkar, saya keluar dari rumah dengan membawa semua barang
dan berkata, jika dia jatuhkan talak, saya akan bayar RM2,000.
Namun ketika itu dia tidak mahu
duit, hanya ingin berpisah. Masalahnya, sekarang dia menuntut wang sebelum
melafazkan talak. Saya ingin tahu, adakah perpisahan kami dikira bercerai?
Adakah saya masih perlu membayar wang itu?
Musykil, Ampang
JAWAPAN
Tindakan isteri meninggalkan suami
selepas bertengkar, sedangkan suami belum menceraikannya, adalah salah.
Jika ini dikira nusyuz, suami memang tak perlu membayar nafkah setelah
peristiwa ini.
Jika suami isteri bercerai dalam
keadaan biasa, isteri tidak perlu membayar apa-apa, kecuali jika isteri
ingin membeli cerai itu atau disebut ‘tebus talak’.
Namun selepas tebus talak, suami
dan isteri tidak boleh rujuk kembali. Sah perceraian jika suami setuju
dengan harga RM2,000 itu untuk tebus talak sebagai syarat melepaskan isterinya
atau syarat talak itu atas permintaan isteri, yang mana jumlah itu mestilah
diserahkan isteri.
|