::Menu
Kelas Iqra
::Kerana dia aku mengenali Al Quran

Kerana dia aku mengenal al-Quran..... 
Oleh: zain y.s 

Alif.. Ba.. Ta... Adalah antara huruf-huruf yang mula-mula saya dan semua muslim kenal sebagai jembatan untuk membolehkan kita membaca al-Quran. 

Setiap malam selepas maghrib, saya bersama-sama dengan kanak-kanak kampung akan ke rumah guru al-Quran kami. Baik lelaki atau perempuan. 

Guru kami bernama Haji Jairi. Seperti majoriti penduduk kampung lainnya, dia juga berketurunan Jawa. Menurut ceritanya, dia berhijrah dari Batu Pahat. Barangkali ayahnya atau datuknya yang berasal dari Tanah Jawa. 

Dalam perjalanan, suasana jadi hingar dengan suara jeritan dan gurauan kami. Meriah rasanya. Sesampainya di rumah guru berkenaan, suasana bising dan jerit pekik masih belum reda. Selagi belum di marah. Selagi belum dijeling oleh guru kami, maka selagi itulah mulut belum dapat ditutup. 

Elektrik belum ada lagi waktu itu. Sekitar awal 80an. Kami guna lampu suluh dengan dua bateri. Manakala di rumah haji Jairi, dipasang dengan lampu gasolin. Sudah cukup terang kami rasakan. Nanti lama-kelamaan, tuan haji ini akan menggunakan genarator elektrik yang menggunakan minyak petrol untuk kegunaan kami mengaji al-Quran. 

Kampung kami agak lewat menerima bekalan elektrik. Air, jalan tar dan kemudahan telefon juga lewat. Tidak tahu kenapa? Nanti setelah meningkat remaja, saya terfikir dan sering merungut-rungut kerana kemudahan asas begitu lambat masuk. Sepatutnya kampung ini patut sudah lama ada kemudahan itu. Semua penduduknya berparti UMNO. Tidak ada pembangkang waktu itu. 

Bila ada orang yang mahu 'melawan' sedikit, nanti ada yang kata: "Jangan, nanti kita juga yang susah. Nanti tak dapat kemudahan asas." 

Ada juga yang kata: "Nanti kalau sudah masuk kemudahan asas, terpulanglah mahu masuk parti mana. Untuk waktu ini, kita UMNO sajalah.." 

Sekarang, bila sudah ada semua kemudahan itu, anak-anak muda kampung sudah mula ada yang masuk parti pembangkang. Orang-orang kampung jadi terkejut dan tak boleh terima. Mereka tak boleh mempraktikkan apa yang mereka pernah katakan satu masa dahulu. 

Ada juga teman-teman saya yang berkata, bahawa lambatnya masuk ke kampung adalah disebabkan oleh kuatnya UMNO di kampung itu. Ada kemudahan ke.. Tidak ada ke.. Mereka akan pakat ramai-ramai pangkah BN. 

------------------ 
Bila pengajian al-Quran bermula, semuanya masuk. Suasana jadi meriah dengan bacaan al-Quran kami. Ada yang baru mengeja. Ada yang sudah membaca. 

Haji Jairi akan menyemak seorang demi seorang bacaan atau ejaan kami. Sampai lewat malam. Tidak seorangpun yang dibenarkan pulang melainkan setelah semuanya selesai membuat semakan. 

Waktu itu, ada yang bermain. Ada yang mengulang bacaan. Ada juga yang tidur. Ada juga yang mengigau bila digerakkan dari tidur. 

----------------- 
Haji Jairi orang lembut. Tidak bengis. Bukanlah bermakna dia tidak pernah marah. Dia akan marah kalau kami membuat bising. Atau jika asyik tersilap ketika semakan. Bila dia marah, kami terima. Tidak ada ibubapa yang datang menyerangnya. Semuanya redha. 

Sewaktu saya dihantar oleh ayah saya untuk berguru dengannya, saya dibawa ke rumahnya. Saya seolah-olah diserahkan kepadanya. Keputusan, samada diterima atau tidak, itu terserah kepadanya. Ayah saya akan akur jika penyerahan saya kepadanya ditolak. Namun, rasanya dia tidak pernah menolak. 

Semua ibubapa akan berbuat demikian jika mahu anaknya berguru dengan Haji Jairi. 

Ketika diserahkan itu, saya rasa cukup megah dan berbangga. Hingga tak boleh tidur malam dibuatnya. Saya rasa saya sudah mula dewasa. Saya boleh bercerita dengan kawan-kawan seperguruan yang lain tentang hal-hal semasa mengaji. Hal bermain. Hal-hal yang melucukan. 

Setiap bulan, ayah saya ada memberi wang. Tidaklah ditetapkan dan tidak pernah ditetapkan berapa jumlahnya. Wang itu tidak disebutpun sebagai sedekah. Juga tidak dinamakan sebagai upah atau sebagainya. Semuanya mengatakan, "duit minyak untuk lampu mengaji.." 

Jika dikatakan sedekah, tentu tidak diterimanya. Dia akan kata, "aku bukan orang miskin.." 

Kalau disebut upah, dia akan kata, "Ini tanggunjawab aku." 

Kalau dia menolak, katakan sahaja, "ini duit minyak.." Dia tidak akan ada alasan untuk menolaknya. 

Bila ada kenduri-kendara atau bila tiba dua hariraya, haji Jairi pasti tidak pernah dilupakan oleh orang tua saya. Sedikit makanan akan dihantar ke rumahnya. Satu tanda penghormatan dari orangtua kepada guru anak-anaknya. Dan, tradisi ini masih dilakukan oleh keluarga saya, sekalipun kami adik beradik sudah lama tidak berguru dengannya. 

------------------
Haji Jairi tidak banyak cakap. Juga tidak suka mengumpat atau mendengar umpatan. Sifatnya ini memang cukup dikenali. 

Dulu dia ada membeli peralatan seperti speaker, amplifier dsbnya. Dia sewakan alatan itu untuk kegunaan kenduri perkahwinan. 

Setiap kali ada perkahwinan di kampung itu akan bergemalah alunan muzik dan nyanyian dari corong pembesar suara yang disewa dari haji Jairi. 

Kemudian, alat pembesar suara itu tidak disewakan lagi. Katanya, "hanya bantu orang buat maksiat saja." 

Dulu dia adalah bilal di masjid kampung saya. Seorang qari. Suaranya memang lunak merdu. Kalau dia mengumandangkan azan, semuanya suka. Diam senyap dan khusyuk mendengarkannya. Kemudian selepas ada genarasi muda yang menggantikannya, dia pun menarik diri dari jawatan bilal. Katanya mahu beri peluang kepada orang muda. 

Hubungan keluarga saya dengan keluarganya memang akrab, sekalipun kami tidak ada hubungan kekeluargaan. Kisah hubungan saya dan keluarga haji Jairi memang cukup panjang jika mahu diceritakan. 

--------------------- 
Selepas saya khatam al-Quran, saya dapat lihat, lama-kelamaan dia sudah tidak mengambil anak murid lagi. Dan akhirnya kelas al-Qurannya ditutup. 

Genarasi lama diganti dengan genarasi baru. Genarasi lama pula ada yang terikut-ikut rentak genarasi baru. Ada rentak yang baik. Ada yang buruk. 

Lama-kelamaan ibubapa sudah tidak lagi menghormati guru al-Quran. Kalau mahu hantar anak mengaji al-Quran, orang tua tidak lagi datang menyerahkan anak kepada guru. Anak itu sendirilah yang datang menyelinap masuk secara senyap-senyap. Tanpa izin. Tanpa apa-apa. Hanya masuk dan duduk mengaji. 

Itu barangkali masih tidak mengapa. Yang lebih menjengkelkan Haji Jairi ialah sikap ibubapa modern yang tidak boleh anak-anak mereka ditegur. "Anak aku lah yang betul." 

Bila ekonomi sudah agak bagus, ibubapa sudah mulai bongkak dan besar kepala. Semuanya mahu ringkas. Mudah dan ambil mudah. 

Kalau anaknya mahu mengaji al-Quran, biarlah anak itu pergi. Berapa bayarannya aku tanggung. Sebut sahaja harganya! 

"Aku bawa anak ini dan serahkan pada guru ataupun tidak, bukankah sama sahaja... Yang penting aku sanggup bayar upahnya.." "Apa guna adat tradisi menyerahkan anak kepada guru. Apa gunanya itu dan ini.." 

Haji Jairi bukan tidak sanggup dengan karenah muridnya, tetapi tidak tahan dengan sikap kurang ajar ibubapa modern. 

Akhirnya kelas al-Quran berkubur.. 

----------------- 
Orang yang mengenalkan saya dengan cahaya al-Quran, sekarang ini sedang terlantar mengidap kencing manis. Badannya sudah lemah. Surau di atas tanah yang diwaqafkannya sudah tidak mampu dikunjunginya lagi. Surau itulah buah hatinya. Surau itulah nyawanya. Tidak ada kesedihan yang lain selain dari tidak dapat mengunjungi buah hatinya. 

Saya cukup sedih setiap kali mendengar cerita tentang keadaannya sekarang ini. Bila saya menghubungi ibubapa saya, antara perkara yang menjadi keutamaan saya ialah bertanya tentang keadaan beliau. 

Ketika saya dan keluarga menziarahi rumahnya pada hariraya yang baru berlalu, dia tidak ada di rumah. Kata isterinya, dia ke hospital untuk buat pemeriksaan. Seharian pemeriksaan dijalankan. 

Saya tidak dapat bertemu dengannya. Dan saya berkata kepada isterinya, bahawa saya akan datang lagi untuk melawatnya. Namun kerana kecuaian saya, sehingga saya pulang semula ke sini saya tidak berkesempatan menemuinya. Saya cukup menyesal. 

Kebetulan, sepanjang cuti di kampung saya terpaksa berkejar ke sana dan ke sini atas beberapa urusan. 

Mudah-mudahan beliau sentiasa meredhai saya. Meredhai ilmu yang saya hirup darinya. Moga Allah memberi kesihatan kepadanya. Panjang umur dalam kebaikan. Rahmat Allah sentiasa menyelubunginya.. Amiin! 

------------------ 
Akhirnya, ada sesuatu yang tidak pernah saya lupakan. Iaitu kata-katanya kepada ayah saya: "Aku malu pada zainudin. Aku hormat pada zainudin. Sekalipun masih muda tetapi lebih berpengalaman luas berbanding aku ini." 

Sekalipun saya tahu benar bahawa itu hanyalah kata-kata yang bukan menunjukkan hakikat sebenarnya, hanya sekadar kata-kata mujamalah, namun ia antara perkataan paling manis yang pernah saya dengar. Adakalanya perasaan saya terbuai-buai bila mengingat perkataan ini. 

Mana mungkin saya ini lebih berpengalaman darinya. Mustahil sekali!! Ia adalah satu kalam yang tersirat 1000 rahsia di sebaliknya. Hanya beliau yang tahu apa sebenarnya. 

Barulah saya tahu sekarang ini, bahawa saya amat menyintai guru saya ini kerana Allah!
 
 
 

Balik semula...

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004