Guru ke Makkah hasil jual tebu
SEORANG guru di utara tanah air sudah
lama bercita-cita untuk menunaikan ibadat haji. Dia berusia 45 tahun. Bagaimanapun,
dia mempunyai lapan anak yang masih belajar dan isteri yang tidak bekerja.
Selain itu, dia turut menjaga seorang ibu yang sudah tua. Guru sekolah
rendah ini boleh dikatakan ‘kaki masjid’.
Walaupun hajatnya besar tetapi kerana
ada halangan kewangan, dia belum mampu ke Makkah. Guru itu selalu mencari
idea untuk menambah pendapatan tambahan, tanpa mengabaikan tugasnya sebagai
guru yang dedikasi di sekolah.
Suatu hari sekembalinya dari sekolah,
dia singgah di sebuah warung menjual air tebu. Penjual itu menegurnya sebagai
seorang haji kerana memakai serban tanpa topi keledar. Bagaimanapun guru
itu menjelaskan, dia belum ke Makkah kerana simpanannya belum cukup, walaupun
keinginannya cukup besar.
Ketika berbual-bual, penjual air
tebu itu memberi idea padanya dengan berkata: “Saya rasa cikgu ada tanah.
Saya tengok tanah cikgu itu terbiar dan dipenuhi pokok yang tidak berguna,
apa kata jika cikgu menukarkan menjadi kebun tebu.”
Penjual itu berkata lagi, kos menanam
tebu murah. Upah membajak hanya RM300 sehari, dua tiga ratus lagi dibelanjakan
untuk membuat pagar. Setiap musim hanya lapan bulan dan penjual itu menawarkan
benih tebu secara percuma.
Cikgu itu mengangguk tanda setuju.
Apabila pulang ke rumah, dia asyik memikirkan hal itu. Tidur malamnya tidak
seperti biasa apabila mengingatkan cadangan penjual tebu tadi.
Keesokannya dia menceritakan hasrat
untuk menanam tebu di tanah terbiar seluas tiga ekar tidak jauh dari rumah
mereka. Isteri dan anak-anaknya menyokong. Akhirnya mereka bergotong-royong
membuat pagar dan mengupah seseorang untuk membajak tanah dan menggali
lubang.
Selepas menanam dan menunggu lapan
bulan, akhirnya usaha dengan tulang empat kerat membuahkan hasil. Dia berjaya
mengutip 10,000 batang tebu. Dengan menjual terus kepada peraih pada harga
80 sen sebatang, setiap musim dia mengutip RM8,000. Dalam setahun (dua
musim) dia mampu menyimpan RM15,000. Selepas dua tahun, dia dan isterinya
mampu menunaikan ibadat haji.
Sekembalinya dari Makkah, rezekinya
bertambah murah dan kerana dedikasinya ketika mengajar beliau dinaikkan
pangkat menjadi guru penolong kanan. Itulah berkat bekerja sendiri.
Balik
semula... |