.
Pintar Jawi: IBBM pusat pengajian jawi antarabangsa

PENGUMUMAN Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd Khir mengenai Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBBM) dicadang untuk menjadi pusat pengajian bahasa Melayu antarabangsa baru-baru ini adalah bertepatan dengan hasrat negara mahukan bahasa Melayu diangkat bukan saja sebagai bahasa kebangsaan negara ini, malah untuk peringkat dunia.

IBBM diwujudkan bagi melatih guru pakar bahasa Melayu sejak bernama Maktab Perguruan Bahasa (MPB) lagi.

Memang sudah tiba masanya, IBBM diangkat sebagai pusat pengajian pengajaran bahasa Melayu sedunia. Pengkhususan ini membolehkan institut itu membentuk ‘watak’nya sendiri dalam arena mengembangkan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, pengajian tulisan jawi tidak harus dikesampingkan daripada pengajian pengajaran bahasa Melayu, kerana tulisan itu telah menyumbang secara besar-besaran dalam tamadun dunia Melayu dan bahasanya.

Pastinya rakyat Malaysia tertarik dengan pendapat yang mengatakan tulisan jawi adalah ‘mutiara’ bangsa Melayu yang kini terabai di tanah airnya sendiri. Peminggirannya yang berlangsung kira-kira setengah abad lalu membawa kesan buruk kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini, kerana pada awalnya ia tidak dianggap sebagai ada kaitannya dengan agama anutan orang Melayu Malaysia.

Pendapat yang mengatakan tidak sempurna pengajian bahasa Melayu itu tanpa mempelajari tulisan jawi, ada kaitannya dengan kajian terhadap manuskrip Melayu klasik yang masih terperam dalam perpustakaan di dalam dan luar negara.

Seharunya IBBM bukan saja diangkat sebagai pusat pengajian pengajaran bahasa Melayu, tetapi sekali gus ia dapat menjadi pusat pengajian pengajaran tulisan jawi antarabangsa.
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004