Make your own free website on Tripod.com
.
Pintar Jawi: Program jawi rancak di Selangor
Bersama Pak Matlob
matlob@pl.jaring.my

MINGGU ini, program jawi untuk guru dan pelajar dirancakkan kembali setelah mereka bercuti selama dua minggu. Guru memerlukan pendedahan yang mencukupi mengenai sistem ejaan jawi mutakhir yakni sistem Ejaan Jawi Dewan (EJD) bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran. 

Pada umumnya, kebanyakan guru mendapat latihan kaedah menulis tetapi tidak banyak pengetahuan mengenai sistem ejaan, sama ada sistem Ejaan Za’ba (EZ) atau sistem EJD.

Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menghadapi dilema ejaan apabila mereka menerima dua sistem ejaan jawi serentak. Di sekolah kebangsaan mereka diajar EJD, sebaliknya dalam pembelajaran dan latihan menulis di sekolah agama mereka menggunakan EZ.

Sehubungan dengan itu, guru dan pelajar perlu mendapat pendedahan yang sewajarnya mengenai sistem ejaan jawi mutakhir. Kemantapan penguasaan guru dan pelajar dalam bidang itu, sekali gus membantu peningkatan markah subjek Pendidikan Islam di sekolah kerana pelajaran jawi kini menjadi sebahagian daripada subjek Pendidikan Islam yang wajib lulus.

Hampir 300 pelajar dan guru di Selangor dijadual mengikuti Program Motivasi Jawi (PMJ) dan Kursus Intensif Jawi (KIJ) masing-masing dianjur Panitia Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dan Jawatankuasa Kokurikulum Pendidikan Islam Daerah Klang dengan kerjasama Harian Metro dan Yayasan Warisan Johor.

Selasa ini, kira-kira 70 guru dari sekolah sekitar daerah Klang, Selangor akan mengikuti KIJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang. Pada hari berikutnya, 24 Jun 2004 lebih 200 pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam pula mengikuti PMJ di Dewan Sinar sekolah mereka. 

Program jawi seperti itu, bukan saja memberikan tambahan ilmu, tetapi turut menyemarakkan semangat cinta jawi di kalangan generasi baru Malaysia.
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004