.
Pintar Jawi: Sudah sampai masa terbitkan buku jawi

ADALAH benar seperti yang disangka, bahawa kebanyakan pegawai Kementerian Pelajaran tidak bersedia menimbang untuk mewujudkan budaya membaca jawi di kalangan pelajar sebab ketiadaan buku jawi.

Walaupun disarankan agar Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Kementerian Pelajaran, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim) kementerian yang sama bergabung tenaga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penerbit Buku-Buku Melayu (PBM) menerbitkan buku jawi namun usaha itu belum menjadi kenyataan. 

Saranan itu bagai mustahil dapat dilaksanakan kerana ada keperluan yang lebih utama dan besar, iaitu satu alasan yang sentiasa terdengar apabila lontaran idea tercetus daripada orang ‘kerdil’. 

Satu hal lagi, bahawa tulisan jawi tidak membawa pelajar kita ke mana-mana dan setakat kenal huruf dan tahu membaca yang wajib-wajib sudah memadai yang dapat dipandang pendapat itu sebagai ‘melepas batuk di tangga’.

Dalam usaha memperkasa kembali tulisan jawi yang sudah ‘ditakdirkan’ untuk anak-anak Melayu saja sejak 1956, tidakkah badan dan institusi berwewenang negara mampu mewujudkan kesepakatan arah tuju menjadikannya sebagai satu institusi pendidikan sepanjang hayat di mana anak-anak Melayu sejak awal lagi ditanamkan semangat mencintai tulisan jawi?

PBM pastinya bersedia menerbitkan buku jawi tahap sekolah rendah dengan ejaan baru sebagai projek perintis jika tulisan itu diberi penekanan oleh Kementerian Pelajaran seperti Program Nilam Jawi (PNJ). 

DBP selain menerbitkan bahan bacaan peringkat menengah (karya asli, bukan disalin ke jawi dari karya rumi seperti apa yang dilakukan sekarang) seharusnya menerbit kembali buku jawi untuk peringkat menengah yang banyak diterbitkan dalam bacaan sekolah era Za’ba, yakni menggunakan ejaan Za’ba.

Jakim yang mempunyai peruntukan penerbitan, di samping menerbitkan bahan bacaan umum dan majalah dalam tulisan rumi, pastinya dapat menerbitkan buku bacaan bentuk agama yang berkualiti dalam tulisan jawi sesuai dengan tahap pembaca sekolah rendah dan menengah. Japim pula menyelaras pelbagai kegiatan jawi dengan rancak untuk kedua-dua peringkat sekolah itu.

Mungkin ada pelajar yang berdaya maju dalam jawi mampu membaca buku syair, hikayat dan kitab kuning dalam ejaan jawi klasik sekiranya mereka diberi dorongan secukupnya melalui PNJ. Banyak ilmu dan pengalaman budaya bangsa Melayu di dalam buku-buku itu.

Ejaan lampau hukum bagi nama negeri Perak

EJAAN jawi bagi nama negeri Perak berbeza dengan ejaan perak (galian). Negeri Perak jelas dalam jatanya mengejakaan nama negeri itu pa-ya-ra-alif-qaf sedangkan perkataan perak galian itu dieja tanpa huruf saksi alif.

Kaedah ini dikenal sebagai Lampau Hukum ejaan lazim. Dalam ejaan lazim, suku kata ke atas tertutup berbentuk konsonan-vokal-konsonan (KVK) dieja tanpa huruf saksi alif di tengahnya seperti petak, sebaliknya ejaan bagi suku kata ke depan tertutup atau ke bawah tertutup seperti pekok dan pesek dieja menggunakan huruf saksi wau dan ya. Tujuan dilakukan demikian untuk menunjuk beza makna seperti perkataan johor dan Johor.

Ini bermakna, ejaan nama negeri itu yang digunakan secara rasmi dibezakan daripada ejaan nama galian sebagai satu kaedah mengeja yang jauh terkedepan oleh para cendekiawan negeri itu pada zaman lampau.

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004