.
Pintar Jawi: Program jawi babitkan pelajar sains, teknik dan vokasional
Bersama Pak Matlob

SEBAGAI langkah mengatasi kelemahan pelajar dalam tulisan jawi, Unit Pendidikan Islam MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Jasin, Melaka; dan Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Teknik (SMT) Port Dickson, Negeri Sembilan pada 17, 21 dan 24 Julai 2004 lalu mengadakan Program Motivasi Jawi (PMJ) membabitkan 1,612 pelajar dari aliran sains, teknik dan vokasional yang akan mengambil peperiksaan SPM.

Mulai tahun ini, calon peperiksaan SPM yang mengambil subjek Pendidikan Islam (PI) 1223/2 Bahagian B, diwajibkan menjawab soalan petikan rumi dalam tulisan jawi.

SMT Port Dickson yang menempatkan pelajar aliran teknik dan vokasional mewajibkan pelajar Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Elektrik, dan Perdagangan dari aliran teknik mengikuti program itu.

Manakala pelajar Elektrik, Elektronik, Pengurusan Perniagaan, Binaan Bangunan, Penyejukan dan Penyaman Udara, Automotif, Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Amalan Bengkel Mesin dan Pengaturcaraan dari aliran vokasional menerima arahan yang sama.

Penyelaras program jawi SMT Port Dickson, Mohd Rahmat Ahmad Nowawi, berkata memandangkan skop kaedah menulis dan sistem ejaan jawi terkini amat luas, waktu empat jam bagi program setengah hari itu agak pendek.

Beliau bercadang mahu mengadakan program jawi yang lebih panjang pada tahun depan.

Setiausaha program jawi MRSM Jasin, Razali Mohamed berkata, selain pelajar, guru PI perlu mendapat pendedahan yang mencukupi mengenai sistem ejaan jawi baru. Hal ini, katanya, membolehkan guru menyelesaikan permasalahan pelbagai pengejaan jawi di bilik darjah. 

Penyelaras program yang sama di MRSM Balik Pulau, Zanariah Awang, lepasan Universiti al-Bayt, Jordan berkata, untuk mengeja jawi beliau kerap merujuk kepada buku pedoman ejaan yang disediakan Dewan Bahasa dan Pustaka. Setelah mengikuti pendedahan sistem ejaan jawi baru melalui PMJ, beliau berasa lebih mudah faham mengenai kaedah mengeja jawi.
 
 

Penggunaan huruf ha dan Ha

DUA huruf jawi yang dieja dalam tulisan rumi menggunakan huruf h, menjadi kesulitan kepada pemula jawi hendak menggunakan ha atau Ha. Seperti perkataan hisap dengan hisab, harum dengan haram, apakah huruf yang harus digunakan? Huruf ha (kepala tajam seperti paruh) atau Ha (bentuk mata lalat).

Pada asasnya semua kata Melayu dan lain-lain kata serapan yang dieja dengan huruf h dalam rumi hendaklah dijawikan dengan huruf Ha, tetapi kata serapan Arab menggunakan kedua-dua huruf itu, iaitu ha dan Ha.

Perkataan hisab (matematik/ kira-kira), haram dan mahkamah menggunakan huruf ha, manakala perkataan hidayah, jahil dan tahniah menggunakan huruf Ha.

Bagi perkataan bahasa Melayu seperti hisap, harum dan rumah atau kata serapan seperti tauhu (Cina), hektar (Inggeris), haiku (Jepun) dan lain-lain dieja menggunakan huruf Ha.

Hal ini memerlukan pemula jawi mengetahui ejaan bahasa Arab di mana kaitan bahasa Melayu dan bahasa Arab amat rapat. 
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004