.
Sirah:Nuruddin gagalkan cubaan ceroboh makam Rasulullah

SULTAN Nuruddin Zenki yang tinggal di Mosul adalah pemerintah Islam yang banyak berjasa dalam Perang Salib.

Beliau memberi jalan kepada panglima Salahuddin Al-Ayyubi dalam perang Salib hingga berjaya membebaskan Palestin daripada cengkaman tentera kafir. 

Beliau adalah seorang yang beriman, warak dan adil. Beliau digelar Malikut Adil (raja yang adil) dan sering berdoa untuk rakyatnya supaya sejahtera.

Mengikut sirah, Nuruddin pernah bermimpi berjumpa Rasulullah dalam keadaan gembira. Penasihatnya memberi tafsir ia mungkin bermakna perjuangan kaum muslimin dalam jihad akan berhasil. 

Namun, pada satu hari Baginda tidak seperti biasa kerana kelihatan risau dan seperti ada yang tidak kena. Ia berpunca daripada mimpi Nuruddin beberapa hari sebelum itu yang agak menakutkan dan sukar ditafsir. 

Dalam mimpinya, beliau bertemu Rasulullah dalam keadaan muram. Baginda memegang tangannya sambil menunjukkan dua lelaki yang berada di depannya dan bersabda: “Kenalilah aku dan bebaskan aku daripada dua orang itu!”

Nuruddin terbangun namun wajah Rasulullah dan dua lelaki itu jelas seperti bukan mimpi. 

Beliau yakin mimpi itu benar kerana Rasulullah pernah bersabda: “Siapa yang melihat aku dalam mimpi, sama ertinya melihat aku di waktu sedar kerana syaitan tidak akan datang menyerupai aku.”

Dia berkata, “ini tentu ada yang tidak kena atau ada sesuatu yang mengancam maruah umat Islam.” 

Mimpi itu datang lagi seperti dulu. Nuruddin terkejut dan bangun berwuduk serta mendirikan solat tahajud. Dia berzikir dan kemudian tertidur dalam duduk serta bermimpi lagi buat kali ketiga. 

Katanya, “perkara ini serius dan tidak boleh aku diamkan saja.” 

Selepas subuh, Nuruddin memanggil menteri kepercayaannya, Jamaluddin Al-Mushly yang warak dan amanah serta menceritakan mimpinya. 

Jamaluddin mendengar dengan serius. Kemudian dia berkata, “Ia memang mimpi yang benar kerana syaitan tidak dapat menyerupai Rasulullah.” 

Katanya, “mengikut pendapat saya, ada rancangan jahat orang tertentu yang ditujukan kepada Rasulullah dan Nabi tidak menyenanginya. Tuanku diberi tugas untuk menggagalkannya.” 

Nuruddin berkata, “Pendapat kamu betul. Sekarang ke mana dan bagaimana kita mahu mencari dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah itu?”

Jamaluddin berkata, “Bagaimana jika tuanku pergi ke Madinah terlebih dulu. Di sana tuanku berdoa di makam Rasulullah mohon petunjuk Allah. Mudah-mudahan tersingkap rahsia mimpi itu.” 

Persediaan segera disiapkan dan Sultan Nuruddin berangkat bersama beberapa pegawainya ke Madinah. Namun, perasaan risau dan ngeri sentiasa menghantuinya. 

Akhirnya, rombongannya sampai ke Madinah. Selepas bersuci, Nuruddin bersolat di masjid Quba dan menuju ke taman Raudhah yang menjadi tempat jenazah Rasulullah bersemadi. 

Nuruddin mengangkat tangan dan memohon Allah memperlihatkan rahsia mimpi itu sebelum musuh melaksanakan niat jahat mereka. Dia begitu khusyuk hingga air matanya mengalir tanpa disedari.

Selepas berdoa, datang petunjuk daripada Allah seolah-olah beliau sudah menemui tafsir mimpi itu. 

Beliau memanggil gabenor dan memerintahkannya memanggil semua penduduk Madinah dan sekitarnya berkumpul untuk bersalaman. Selepas berita itu disebarkan, semua rakyat datang. 

Raja Nuruddin memandang rakyatnya sebagai penghormatan dan pada masa sama, mencari wajah yang menjadi buruannya. Namun, wajah itu tidak kelihatan.

Beliau risau dan bertanya sekali lagi kepada pegawainya. Tiba-tiba seorang berkata, “Betul tuanku, saya ingat masih ada dua kenamaan di Madinah yang tidak hadir, mungkin mereka tidak tahu ketibaan tuanku ke sini.”

Raja Nuruddin berkata, “Di manakah mereka berada dan siapakah mereka?” 

Orang itu berkata, “Mereka berdua adalah ahli tasauf dan hikmah yang sangat warak dan banyak ibadatnya. Sesiapa saja yang pergi kepada mereka akan menerima fatwa dan sedekah. Mereka juga dermawan dan banyak membantu orang miskin dan fakir.”

Raja Nuruddin tertarik dan ingin bertemu keduanya. Tidak lama kemudian, mereka datang dengan kepala tunduk dan tawaduk sementara mulut pula tidak henti berzikir kepada Allah.

Apabila kedua-duanya di depan Raja Nuruddin, beliau terperanjat kerana itulah wajah yang muncul dalam mimpinya. Dia memandang mereka dan hairan kerana tidak menemui sebarang kecurigaan. 

Mereka begitu khusyuk dan tawaduk, serbannya diikat mengikut sunnah Rasulullah dan adab mereka seperti orang alim serta tutur kata pula penuh hikmah berasaskan al-Quran dan hadis. 

Namun, mengapa Rasulullah minta dibebaskan dan apa dosa dilakukan mereka? Raja Nuruddin hairan dan tidak tahu apa harus dibuat. 

Di kediamannya, Raja Nuruddin bersolat dan berdoa meminta petunjuk lebih jelas daripada Allah. Lalu datang menterinya, Jamaluddin dan berkata, “Wahai tuanku, sudahkah tuan berjumpa dengan dua orang itu?”

Katanya, “Ya, sudah. Mereka adalah jemputan terakhir dan beta pasti itulah orang yang ditunjuk Rasulullah. Namun, beta tidak menemui apa yang mencurigakan. Akhlak, gerak geri dan tutur kata menggambarkan keperibadian Rasulullah.” 

Jamaluddin berkata, “Tuanku, ketahuilah seseorang yang zahirnya baik dan mengikut cara Rasulullah, belum tentu hatinya baik. Mungkin mereka berpura-pura supaya orang ramai tidak curiga padahal dia adalah musuh yang jahat.”

Raja Nuruddin berkata, “Betul katamu kerana memang ramai orang kafir berpura-pura Islam sedangkan tujuannya menghancurkan Islam dari dalam.”

Jamaluddin berkata, “Tuanku mesti membuat siasatan ke rumah orang itu secara sulit.”

Mereka berbincang cara untuk mendapatkan maklumat kedua lelaki itu. Akhirnya mereka mendapat ilham iaitu orang ramai dijemput ke rumah terbuka Raja Nuruddin.

Kedua orang itu diundang sebagai tetamu kehormat. 

Raja Nuruddin pergi ke rumah orang itu dan memeriksa semua bahagian rumah, malangnya tidak berjumpa sebarang yang mencurigakan. 

Almari mereka dipenuhi kitab agama, fekah dan tasauf serta keadaan rumah menggambarkan mereka pewaris Nabi. 

Hati kecil raja bertanya, “Apa lagi yang harus aku syak? Kenapa Rasulullah meminta pertolongan supaya dibebaskan daripada mereka?” 

Ketika melangkah keluar, datang ilham untuk melihat permaidani yang indah di sudut rumah. Beliau kagum dan membelek permaidani itu, namun terlihat sekeping papan di bawahnya. 

Raja Nuruddin curiga lalu mengangkat papan itu perlahan-lahan. Di bawahnya, ada sebuah terowong bertangga. Dia meneliti arah terowong itu dan terkejut kerana ia menuju ke arah kubur Rasulullah. 

Raja Nuruddin segera mengeluarkan arahan menangkap kedua orang itu. 

Dengan terbongkarnya rahsia itu, yakinlah Raja Nuruddin pada mimpinya. Kedua-dua orang yang menyamar alim itu adalah musuh yang hendak mencuri jasad Rasulullah.

Orang ramai datang menyaksikan keadaan di rumah itu. Beberapa orang turun ke dalam terowong yang panjang dan mendapati ia sudah terlalu hampir dengan jasad Rasulullah.

Orang ramai tidak sabar lalu memukul mereka dengan teruk sebelum dibawa ke muka pengadilan.

Di mahkamah, kedua-duanya berterus terang sudah tinggal di Madinah lebih setahun sebagai ejen Yahudi untuk mencuri jasad Rasulullah dari kuburnya. 

Apabila jasad Rasulullah berada di tangan mereka, dengan mudah mereka dapat merendahkan martabat kekasih Allah dan menghina umat Islam.

Umat Islam di Madinah berasa tertipu dan akhirnya kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman mati.

Raja Nuruddin bersyukur kerana tugas itu berjaya diselesaikan dengan berkat hidayah dan pertolongan-Nya.

Beliau memerintahkan keempat penjuru kubur dipagar dengan konkrit hingga ke bawah tanah untuk mengelakkannya terjadi lagi. Sebelum berlepas dari Madinah, beliau bermimpi bertemu Rasulullah. Kali ini, baginda merangkul leher beliau.

Apabila tiba masa meninggalkan Madinah, beliau memberi taklimat akhir kepada penduduk akan kejahatan dan dendam Yahudi terhadap Islam. Beliau kembali ke Mosul diiringi doa dan air mata rakyat. 

Hari ini, Yahudi sudah berjaya menghancurkan perpaduan Islam. Mereka berjaya melagakan sesama Islam. Semoga kita semua mendapat kesedaran untuk menegakkan kembali Islam yang agung.
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004