Make your own free website on Tripod.com
.
Sirah: Sahabat rela syahid demi kasihkan Rasulullah

DALAM peperangan Badar, ramai pemuda Quraisy mati dalam pertempuran dengan tentera Islam. 

Hal itu menyebabkan kemarahan mereka lebih-lebih lagi Sulaifah kerana beliau kehilangan dua anak lelaki. Kedua-duanya dibunuh oleh Asim. 

Sulaifah bersumpah akan meminum darah Asim dari tempurung kepalanya. Dia menawarkan 100 unta sebagai ganjaran kepada sesiapa yang dapat membawa kepala Asim kepadanya. 

Maka, Sufian bin Khalid mengaturkan satu rancangan untuk mendapatkan hadiah itu.

Sufian memilih beberapa lelaki daripada puak Adhal Waqarah dan menghantar mereka ke Madinah dengan berpura-pura masuk Islam. 

Selepas sampai di Madinah, mereka memberitahu Rasulullah bahawa mereka memerlukan beberapa orang Muslim untuk berdakwah kepada mereka dan mencadangkan salah seorangnya iaitu Asim.

Rasulullah tanpa berasa syak memilih 10 orang (ada riwayat mengatakan enam orang) termasuk Asim untuk menyertai kumpulan Adhal Waqarah.

Maka, bertolaklah kumpulan yang bercita-cita untuk mendapatkan hadiah bersama-sama dengan orang Islam termasuk Asim. 

Dalam perjalanan mereka diserang oleh musuh Islam. Sahabat Rasulullah kemudiannya mendaki bukit yang bernama Fadwah dan mereka bertahan di situ.

Oleh kerana musuh sukar untuk menawan kumpulan orang Muslim, maka mereka berkata: “Kami menyerang kamu bukan hendak membunuh kamu, tetapi tujuan kami hanyalah untuk menjadikan kamu tawanan supaya kami dapat menjual kamu di Makkah.”

Sahabat Rasulullah tidak mengendahkan kata-kata musuh sebaliknya mereka menyerang dengan melepaskan anak panah. Apabila anak panah sudah habis, mereka menyerang dengan lembing. 

Oleh kerana serangan itu kelihatan seperti dirancang, maka Asim berkata kepada sahabat: “Nampaknya pengkhianat itu sudah menderhakai kita. Jangan sekali-kali ia melemahkan semangat kita sebab tujuan kita adalah syahid. Allah sentiasa bersama-sama kita dan bidadari sentiasa menunggu kita di syurga.”

Selepas berkata demikian kepada sahabatnya, dia kemudiannya menggunakan pedangnya untuk membalas serangan musuh. 

Dalam perjuangan itu, Asim gugur sebagai syahid. Sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia berdoa: “Ya Allah ya Tuhanku, sampaikan berita ini kepada Rasul kami.”

Asim berkata lagi: “Ya Allah, sebenarnya aku mengorbankan jiwa aku di jalan-Mu. Oleh itu, aku memohon kepada-Mu. Kamu selamatkan kepala aku daripada orang kafir.”

Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang memakbulkan permintaan Asim. Allah menurunkan wahyu kepada Rasulullah yang menerangkan kejadian mengenai Asim dan rakan-rakannya.

Sebaik saja Asim memejamkan matanya, maka Allah menurunkan sekumpulan lebah lalu menghurung mayat itu. (Sesetengah riwayat mengatakan tebuan).

Oleh kerana terlampau banyak lebah yang menghurung anggota Asim, maka pihak musuh tidak dapat menghampiri mayat itu untuk memenggal kepalanya. 

Akhirnya mereka merancang untuk memenggal kepala Asim pada waktu malam, maka turunlah hujan dengan lebatnya menyebabkan banjir dan tubuh Asim dihanyutkan air. 

Akhirnya rancangan Sulaifah untuk meminum darah mujahid itu dalam tempurung kepalanya digagalkan oleh Allah yang Maha Berkuasa.

Kembali kepada pertempuran yang masih berlaku. Daripada 10 orang Islam yang berjuang, tujuh syahid termasuk Asim dan yang tinggal hanyalah tiga iaitu Khutbaib, Zaid bin Watnah dan Abdullah bin Tariq.

Mereka tetap bertahan hingga pihak musuh berkata: “Segeralah turun kamu semua dari bukit Fadwah itu, percayalah kami tidak akan mengapa-apakan kamu.”

Menyangka kata-kata itu adalah ikhlas, ketiga-tiga mereka turun dari bukit Fadwah. Sebaik saja mereka turun mereka diserang dan ditawan oleh musuh.

Abdullah bin Tariq berkata: “Kamu semua mengkhianati janji kamu. Oleh itu, aku tidak mahu mengikuti kamu.” 

Apabila pihak musuh menyuruh Abdullah berjalan dia enggan sebaliknya tetap tidak mahu bergerak, akhirnya dia dibunuh di tempat dia duduk. Maka Abdullah mati syahid. 

Khubaib dan Zaid bin Watnah dibawa ke Makkah dan dijual kepada orang Quraisy. Safwan bin Umaiyah membeli Zaid dengan 50 unta sementara Khubaib dibeli oleh Hujair dengan 100 unta.

Safwan membeli Zaid kerana ingin membalas dendam kematian ayahnya yang dibunuh Zaid dalam perang Uhud. Begitu juga dengan Hujair yang membeli Khubaib untuk membalas kematian ayahnya yang dibunuh Khubaib dalam perang yang sama. 

Pembunuhan Zaid diserahkan kepada seorang hamba Safwan. Zaid dibawa ke satu tempat di luar Masjidil Haram di mana orang ramai berkumpul untuk melihat pembunuhannya. 

Abu Sufyan turut serta dalam keramaian itu. Sebaik saja Zaid berdiri untuk dibunuh, Abu Sufyan berkata: “Wahai Zaid, mahukah kamu ditukarkan tempat kamu itu dengan Muhammad dan kamu dibiarkan balik ke rumah untuk hidup bersama keluarga kamu?”

Zaid berkata: “Demi Allah, tidak berguna kehidupan ini kalau aku biarkan duri kecil sekalipun menikam kaki kekasihku Muhammad.” 

Orang ramai yang berada di situ tercengang mendengar jawapan Zaid. Kemudian Abu Sufyan berkata: “Sesungguhnya kasih sayang yang pada mereka yang mencintai Nabi tidak ada tolok bandingnya.”

Akhirnya Zaid ditikam dengan lembing hingga mati.

Khubaib pula lama ditahan oleh Hujair, kata seorang hamba Hujair yang kemudiannya masuk Islam. 

Hamba itu berkata: “Pada suatu hari sewaktu Khubaib dalam tahanan, aku melihat dia memakan anggur dari tangkainya yang sebesar kepala manusia sedangkan pada masa itu bukan musim anggur di Makkah.”

Katanya: “Apabila hari untuk membunuh Khubaib sudah hampir maka dia meminta diberikan pisau cukur. Permintaannya ditunaikan.” 

Ketika itu, seorang kanak-kanak pergi bermain dekat Khubaib dan ini menyebabkan penghuni rumah takut kerana mereka menyangka Khubaib hendak membunuh budak itu. 

Melihat hal itu Khubaib berkata: “Apakah kamu fikir bahawa aku akan membunuh budak yang tidak berdosa ini?”

Selepas Khubaib dibawa ke tempat pembunuhan, dia diberi peluang untuk menyatakan permintaan terakhirnya. 

Katanya: “Aku meminta izin kamu untuk menunaikan sembahyang dua rakaat kerana sekejap lagi aku akan meninggalkan dunia ini untuk menemui Allah.”

Permintaan Khubaib diizinkan. Selepas selesai Khubaib mengerjakan sembahyang dua rakaat, dengan tenang dia berkata: “Sebenarnya aku suka hendak mengerjakan sembahyang 2 rakaat lagi, tetapi oleh kerana aku tidak mahu menimbulkan sebarang sangkaan mengenai keberanian aku menghadapi maut, maka aku tidak mengerjakannya.” 

Kemudian Khubaib diikat dan pada waktu itu dia berdoa: “Ya Allah, tidak ada sesiapa yang dapat menyampaikan salam aku kepada pesuruh-Mu.”

Lalu Allah melalui malaikat-Nya menyampaikan salam Khubaib kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah menjawab: “Waalaikum mussalam ya Khubaib.”

Lalu Rasulullah berkata kepada sahabatnya: “Khubaib sudah disyahidkan oleh orang Quraisy.”

Sewaktu Khubaib dibunuh, dia ditikam berkali-kali oleh orang Quraisy yang berjumlah 40 orang. Antara mereka mengejek dengan berkata: “Adakah kamu suka kalau tempat kamu ini ditukar dengan Muhammad dan kami membebaskan kamu?”

Khubaib berkata: “Demi Allah yang Maha Mulia tidak aku reda nyawaku ditebus dengan penderitaan nabi walaupun penderitaan itu sekadar mencucuk badannya dengan duri kecil.”

Kalau zaman dulu, sahabat tidak sampai hati untuk melihat walau sedikit pun penderitaan Rasulullah tetapi hari ini kita sering melihat perbuatan manusia yang cukup menyakiti dan menyeksa hati Rasulullah.
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004