.
Taqwil Al-Quran: Menyelami tujuan manusia dilahirkan ke dunia

FIRMAN Allah Taala bermaksud: “ Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan”. – Surah al-Hadid, ayat 25 

Adakah kita tahu siapa pencipta kita dan bagaimana sifatnya? Kita sebenarnya tidak miliki suatu apapun pada diri kita. Tangan, kaki, dan mata kita sehingga sel yang paling kecil dalam tubuh kita pun bukan milik kita. Justeru itu, kenalkah kita siapakah tuan punya sebenar bagi semua itu?

Kita sebagai manusia tidak memiliki air yang kita minum, udara yang kita sedut, makanan yang kita makan, bumi yang kita pijak. Tidak memiliki suatu apapun daripada segala nikmat yang dirasai di dunia ini. Kalau begitu, siapakah pemilik bagi segala nikmat ini?

Kita manusia telah dianugerahi kekuatan dan kemampuan untuk melakukan apa yang kita kehendaki di muka bumi ini, dan diberinya ilmu dalam memahami isi alam ini demi kebaikan dan kemanfaatan kita.

Tahukah kita siapakah yang menganugerahi kuasa dan segala kemudahan tersebut? Tahukah kita apakah bentuk kerja dan amalan yang disukainya dan dimurkainya? Ingatlah, Allah Taala berfirman maksudnya: ” Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah “. – Surah al-Syura, ayat 21

Kita berada di dunia ini dalam jangka masa yang sangat terbatas, kita semua akan pergi meninggalkan dunia ini seperti mana kita datang. Firman Allah bermaksud: ”Sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagaimana kamu Kami ciptakan pada mulanya, dan kamu tinggalkan (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu. “ – Surah al-An`am, ayat 94 

Oleh itu, tahukah kita kenapa kita datang ke dunia ini? Setiap anggota badan kita termasuk mata, telinga, kaki, tangan, hidung dan lain-lain dicipta bukan dengan sia-sia, tetapi ada tujuan dan hikmatnya. Kalau tiap satu anggota itupun dicipta ada tujuannya, apatah lagi kehidupan kita secara keseluruhannya tentu sekali mempunyai tujuan yang besar pula. Tujuan dan hikmatnya yang sebenar kita tidak akan ketahui melainkan dengan pemberitahuan daripada Penciptanya sendiri, kerana Ia mencipta sesuai dengan kehendak-Nya, tiada seorangpun mengetahui apa yang dikehendaki-Nya di sebalik penciptaan tersebut kecuali diberitahu-Nya.

Ketahuilah, bahawa kita manusia akan terus berjalan dan bergerak sebagaimana orang-orang yang mendahului kita menuju kepada destinasi yang telah ditetapkan, berpindah dari alam dunia ini seperti mana berpindahnya dari alam rahim ibu yang sempit dahulu ke alam dunia yang luas saujana. Tahukah kita ke mana berakhirnya kita? Apakah yang menunggu kita selepas kematian nanti ? 

Ingatlah, wahai insan! Anda pasti akan dihisab dan disoal-siasat di hadapan Pencipta yang menghantarkan anda ke dunia ini. Anda pasti akan menerima balasan daripada setiap amalan, tindakan, kerja dan aktiviti yang anda lakukan sepanjang hidup di dunia. Namun begitu, manusia tidak mungkin mengetahui kerja-kerja atau amalan yang disukai penciptanya, bagaimana pahalanya dan juga amalan atau kerja yang dimurkainya serta balasan seksaannya kecuali dengan melalui ajaran dan petunjuk-Nya. 

Di sinilah letaknya kepentingan para rasul dalam kehidupan manusia di dunia. Tanpa mereka banyak persoalan hidup manusia ini tidak akan terjawab, kerana merekalah diberi tugas oleh Allah untuk menyampaikan ilmu yang tidak boleh dicapai oleh kebijaksanaan akal manusia yang terbatas. Pada tangan merekalah terdapat bukti-bukti yang nyata, selaku penyuluh jalan menuju kejayaan hakiki dan kebahagiaan abadi di akhirat nanti.

Semoga kita masing-masing dapat menjawab segala persoalan yang ditimbulkan di atas dengan jelas dan penuh keyakinan. Di atas keyakinan itulah kita bergerak dan melangkah menuju matlamat akhir dan cita-cita yang diharap-harapkan, mudah-mudahan Allah Taala sentiasa membantu kita.
 
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004