Make your own free website on Tripod.com
.
Takwil al-Quran: Di sebalik pemilihan manusia jadi khalifah

FIRMAN Allah Taala bermaksud: “(Dan ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada malaikat:” Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. – Surah al-Baqarah, ayat 30.

Sejak turunnya ayat itu, Islam telah mengenalpasti kedudukan manusia di muka bumi ini. Manusia sebenarnya sejenis makhluk yang berbeza daripada segala makhluk Allah yang lain. Ia tidak sama dengan pepejal, tumbuhan dan haiwan, tidak sama dengan malaikat dan jin, bahkan ia adalah makhluk yang mulia dan mempunyai tanggungjawab. 

Ia tidak wujud dengan sendirinya sebagaimana disangka oleh sebahagian orang, bahkan ia wujud dengan kehendak Tuhan Yang Menciptanya, Tuhan Yang menjadikannya dalam bentuk yang sebaik-baiknya, mengajar dan memeliharanya dan dibekalkannya pendengaran, penglihatan dan akal fikiran. Ia adalah hanya hamba kepada Allah Taala Penciptanya. 

Islam memahami sepenuhnya tabiat manusia, kerana Islam adalah agama Allah, manakala manusia pula makhluk ciptaan-Nya. Pencipta sesuatu tidak akan jahil hakikat dan tabiat sesuatu yang diciptanya. Sebagaimana firman Allah bermaksud: ”Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedangkan Ia Maha Halus urusan tadbiran-Nya, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya”. – Surah al-Mulk, ayat 14 

Memang benar Allah mencipta manusia ini dalam bentuk jasad dan roh. Jasad dikuatkan oleh unsur bumi sementara roh pula berpotensi meningkat tinggi ke langit. Jasad ada dorongan dan keinginannya, roh pula ada jangkauan dan tingkatannya. Jasad ada tuntutannya seperti keinginan haiwan, sementara roh pula ada kerinduannya seperti kerinduan para malaikat.

Gabungan dua unsur ini pada kejadian manusia bukanlah suatu yang baru, bahkan ia sebagai fitrah yang ditentukan Allah kepadanya. Itulah yang melayakkannya menjadi khalifah di muka bumi. Ia bermula sejak penciptaan Adam yang digabungkan antara unsur tanah dan tiupan roh.

Justeru itu, akidah Islam tidak pernah melupai faktor roh semata-mata kerana tanah, dan sebaliknya tidak pernah melupai unsur tanah semata-mata kerana roh. Malah Islam sentiasa mengambil kira gabungan kedua-duanya dalam satu kesatuan yang padu dan sebati. Masing-masing roh dan jasad mendapat hak dan bahagiannya secara saksama, tanpa berlebihan dan berkurangan.

Oleh itu, Islam menjelaskan bahawa manusia tidak diciptakan sia-sia, tidak untuk dirinya dan tidak untuk sekadar dapat makan, minum dan tidur bagaikan binatang, tidak juga sekadar untuk hidup dalam tempoh masa tertentu kemudian mati ditelan bumi dan dimakan ulat saja, tetapi sebaliknya ia tentu mempunyai matlamat dan tujuannya yang besar.

Sesungguhnya manusia dicipta untuk mengenali Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya, untuk menjadi khalifah di bumi dan untuk memikul amanah yang besar dalam tempoh masa hidup yang singkat ini iaitu amanah berbentuk kewajipan dan tanggungjawab. Ia adalah ujian Allah dalam usaha dan persiapan bagi mencapai kejayaan dalam hidup yang akan datang iaitu hidup akhirat yang kekal abadi dan tidak berakhir.

Jadi, manusia tidaklah dicipta sekadar untuk hidup dunia yang sempit, pendek dan fana ini tetapi dicipta untuk hidup yang kekal dan abadi. Bak kata orang: Orang yang bodoh itu hidup untuk makan, sementara orang yang bijaksana itu makan untuk hidup.

Alangkah jauh bezanya antara orang yang hidup untuk dirinya dan orang yang hidup untuk Tuhan-Nya, antara orang yang hidup untuk dunia yang terbatas dan orang hidup untuk kehidupan yang tidak terbatas masa dan tempat. Perhatikan firman Allah berikut maksudnya: ”Maka apakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja)? Dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami ?“. – Surah al-Mu’minun, ayat 115 dan firman Allah bermaksud: ”Dan orang-orang yang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka”. – Surah Muhammad, ayat 12 

Mudah-mudahan kedua-dua ayat di atas akan sentiasa menjadi cermin suluh kepada kita dalam menjalani ujian Allah selama berada di muka bumi ini.
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004