Make your own free website on Tripod.com
.
Takwil al-Quran: Manusia sekadar pengembara di dunia
Bersama Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

FIRMAN Allah bermaksud: ”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”. – Surah al-Qasas, ayat 77 

Dalam menghuraikan ayat di atas, Prof Dr Wahbah al-Zuhayli, tokoh tafsir masa kini dalam tafsirnya menyimpulkan bahawa asas-asas tamadun Islam itu ada empat perkara iaitu pertama, mengerjakan amal salih semata-mata mengharapkan balasan pahala di akhirat, kedua, membangunkan dunia dengan penuh rasa tanggungjawab serta tidak menindas orang lain, ketiga, berbuat baik kepada sesama manusia dari segi material, spiritual dan budi pekerti dan keempat, membasmi kerosakan, kemaksiatan dan kebinasaan.

Justeru, seorang Mukmin hendaklah mentadbir dan mengurus dunia ini pada perkara yang boleh menguntungkannya di akhirat, bukan dengan perasaan angkuh dan melampaui batas. Ia tidak boleh mensia-sia dan menghabiskan umurnya pada amalan yang tidak salih di dunia ini, kerana akhiratlah sepatutnya menjadi tumpuan utamanya. Jadi, modalnya di dunia ialah umur dan amalannya yang salih iaitu dengan cara mentaati dan mengabdikan dirinya semata-mata kepada Allah Taala yang melimpahkan kepadanya seribu nikmat di samping tidak melakukan sebarang kedurhakaan kepada Allah dan kerosakan di muka bumi. 

Bagi menjelaskan lagi maksud ayat di atas, tepatlah apabila Nabi Muhammad saw bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: ”Jadilah kamu di dunia ini bagaikan perantau/pengembara atau pelintas jalan”. – Hadis Riwayat al-Bukhari, dalam Sahih al-Bukhari bisyrh Fath al-Bari, Bab(3) 
 
 

Seorang perantau tidak akan membawa bersamanya dalam perjalanan kecuali apa yang diperlukan saja. Dia tidak akan membawa semua keperluan yang ada di rumahnya, kerana kalau itu dilakukan pasti dia tidak akan mampu berjalan atau sekurang-kurangnya akan melambat atau menyusahkannya dalam perjalanan tersebut.

Demikianlah seorang Muslim, seharusnya ia mengambil dunia ini sekadar untuk membantunya dalam mencapai kejayaan di akhirat, ia hendaklah meninggalkan apa-apa yang boleh menghalangnya daripada mencapai ketinggian di akhirat atau kedudukan yang lebih tinggi di sana.

Seorang perantau atau pengembara tidak akan melihat jalan itu sebagai tujuan dan matlamat, akan tetapi ia sebagai cara atau perantaraan yang boleh membawanya kepada matlamat. Oleh kerana itu, ia tidak akan leka dan lalai dengan pelbagai keindahan yang terdiri daripada pokok-pokok, bunga-bungaan dan batu-batan.

Begitulah juga seorang Muslim, ia seharusnya berinteraksi dengan dunia ini bagaikan jalan atau cara, bukan tujuan dan matlamat. Dunia tidak sepatutnya menjadi matlamat, kerana ia pasti akan hilang dan musnah.

Seorang pengembara akan sentiasa menyedari bahawa pada setiap saat dan langkah ia kian bertambah jauh meninggalkan titik permulaan yang ditinggalkan dan sekali gus kian bertambah dekat kepada garis penamat. Sekiranya ia mengembara dengan kereta umpamanya, maka ia sentiasa menyedari bahawa sudah berapa kilometer telah berlalu dan baki lagi berapa kilometer. Sekiranya ia menggunakan kapal terbang, ia juga diberitahu sudah berapa lama masa telah diambil dan berapa lama lagi tempoh masa yang masih baki. 

Demikianlah seorang Muslim, seharusnya sentiasa menyedari bahawa setiap saat ia kian bertambah dekat dengan penghujung perjalanan di dunia ini, kerana ia bertambah dekat dengan kematian. Manusia dalam perjalanan hidup ini mengetahui berapa lama sudah umur yang dilaluinya, tetapi ia tidak tahu berapa lagi bakinya. Oleh sebab itu, ia seharusnya sentiasa bersiap sedia setiap saat untuk kematian, kerana ia tidak mengetahui dengan pasti bilakah ia akan mati.

Kita berdoa kepada Allah SWT semoga sentiasa diberi kesedaran dan ingatan bahawa kita bila-bila masa boleh dipanggil kembali oleh Allah ke hadirat-Nya, maka dengan itu kita akan memastikan ketakwaan dan keislaman kita setiap masa. 
 
 

::Balik::
 

Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004