150.Perbezaan hak ibu kandung, tiri

SAYA berkahwin dengan duda anak lima pada 1999. Malangnya, perkahwinan kami tidak direstui anak-anaknya.

Selepas hampir empat tahun, perasaan benci mereka semakin menebal, walaupun pelbagai cara saya lakukan untuk mengambil hati mereka, seperti mencuci pakaian seisi keluarga, termasuk anak-anak yang sudah berumah tangga.

Sebaliknya, mereka melayan saya seperti orang gaji dan memanggil nama saja (bukan mak cik atau ibu). Bila saya bersuara, mereka menghalau saya dari rumah.

Suami saya pula sudah tua dan hanya mampu menasihatkan saya supaya bersabar. Pada masa sama, saya mengambil seorang anak angkat. Masalah saya sekarang, apabila rasa tertekan, saya melepaskan rasa marah kepada anak angkat yang berumur empat tahun.

Apa patut saya lakukan? Adakah wanita bergelar ibu tiri tiada hak ke atas keluarga suaminya?

IBU TIRI SUSAH HATI,
Kuantan

JAWAPAN

Berkahwin dengan duda yang mempunyai anak memang ada risikonya. Ibu tiri berhak dihormati sebagai isteri kepada bapa, tetapi haknya tidak sama seperti ibu kandung.

Apa yang patut puan lakukan sekarang ialah memberi tumpuan pada tanggungjawab melayan suami puan (lebih utama berbanding melayan anak-anaknya).

Bersabarlah melayan kerenah anak-anaknya memandangkan mereka masih belum dapat menerima kehadiran puan. Suami juga sepatutnya lebih bertanggungjawab untuk menasihati anak-anak, selain menasihati isteri.

Selain itu, jangan jadikan anak angkat berumur empat tahun sebagai tempat melepaskan marah kerana dikhuatiri semua ahli keluarga akan memusuhi puan. Sebaik-baiknya curahkan kasih sayang puan pada anak kecil ini, InsyaAllah hati puan akan lebih tenang.
 
 
 

Balik


 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004