156.Gagal beri nafkah
batin
SAYA sudah berkahwin 10 tahun dan
mempunyai dua anak. Orang melihat kami pasangan bahagia, sedangkan hakikatnya
Allah saja yang tahu.
Selepas kelahiran anak kedua (lima
tahun lalu) suami saya tidak pernah memberikan nafkah batin.
Masanya lebih banyak dihabiskan bersama
keluarga (emak dan adik beradiknya) serta kawan-kawan. Malah, boleh dikatakan
setiap keputusan ditentukan oleh ibu mentua saya.
Dalam keadaan ini, adakah saya dikira
gantung tidak bertali? Saya sangat tertekan dan tidak sanggup lagi hidup
berpura-pura. Bolehkah saya memohon cerai atas alasan ini?
ISTERI MALANG, Tanjung Malim, Perak
JAWAPAN
Tiada istilah gantung tidak bertali
dalam Islam, tetapi biasanya dalam masyarakat kita ia dirujuk pada keadaan
isteri yang tidak diberi perhatian suami dari apa segi pun.
Puan memang ada hak menuntut cerai
jika suami tidak memberi nafkah batin, tetapi ada baiknya jika cuba menyiasat
dulu kenapa suami berubah setelah mempunyai dua anak.
Mungkin ada kesalahan dari mana-mana
pihak, sama ada suami atau isteri, yang dapat diperbaiki melalui perbincangan.
Saya sarankan supaya berbincang bersama-sama
dari hati ke hati supaya masalah selesai dengan cara baik dan jika gagal,
berbincang bersama keluarga.
Dari sini, punca mereka campur tangan
dalam urusan keluarga puan dapat diketahui, dan boleh jadi ada kesilapan
diri yang boleh diperbaiki.
|