165.Surah dalam solat
sunat
SAYA menjadi imam dalam satu solat
jemaah. Saya tersalah membaca surah kerana terlupa dan lebih buruk ia bersambung
dengan surah yang lain. Malangnya keadaan ini hanya disedari selepas saya
melakukan rukuk dan ia tiada seorang pun makmum menegur saya. Saya rasa
amat bersalah tetapi tetap meneruskan sembahyang. Adakah sembahyang yang
diimamkan itu sah?
ZUL,
Kota Bharu
JAWAPAN
MEMBACA surah dalam solat hukumnya
sunat dan bukan wajib. Ini bererti sekiranya imam tidak membaca surah pun,
solat tetap sah.
Sekiranya imam tersalah membaca surah,
dia sepatutnya ditegur oleh makmum tetapi jika tiada makmum yang sedar
mengenai perkara ini kerana tidak faham atau tidak mengetahui, maka imam
boleh menyambung terus solat berkenaan.
Sebaiknya, jika terlupa, hentikan
pembacaan surah pertama dan bacalah surah lain sebagai ganti. Bagaimanapun,
solat yang dipimpin itu hukumnya sah. Sebelum menerima tanggungjawab sebagai
imam, pastikan kita sudah bersedia. Jika bimbang terlupa surah panjang,
carilah surah pendek yang mudah dihafal atau sebaiknya yang menjadi amalan
seharian.
|