193.Ibu bapa marah
bekas tunang
SAYA pernah bertunang dengan lelaki
panas baran. Kerana cemburu, dia pernah memarahi dan mengeluarkan kata-kata
kesat kepada saya dan emak, tetapi sebelum balik, dia meminta maaf atas
keterlanjurannya.
Namun, emak dan abah tidak boleh
menerima hakikat ini dan memutuskan pertunangan kami. Bekas tunang saya
juga berkali-kali meminta maaf.
Bagaimanapun, sehingga kini kami
masih berhubungan dan hal ini diketahui emak dan ayah. Emak berkata, sembahyang
saya tidak diterima Allah jika tidak mendengar kata orang tua.
Ayah pula mengugut tidak mahu mengakui
saya anak jika saya teruskan hubungan ini. Apa harus saya lakukan? Adakah
benar semua amalan saya tidak akan diterima kerana ingkar cakap orang tua?
Benarkah perkahwinan yang tidak direstui tidak akan bahagia?
Siti, Selangor
JAWAPAN
Sikap tunang saudari yang panas baran
sampai mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua memang akan meninggalkan
kesan mendalam pada mereka, walaupun selepas dia meminta maaf.
Reda Allah tergantung pada reda ibu
bapa, begitu juga Allah akan murka jika ibu bapa marah kepada anak.
Carilah reda Allah melalui reda ibu
bapa dan perkahwinan yang berkat ialah yang direstui mereka. Antara cinta
pada ibu bapa dan kekasih, sudah tentu cinta ibu bapa patut didulukan kerana
hubungan antara anak dan ibu bapa tidak akan putus sepanjang hayat.
Cubalah berbincang dengan lembut
mengenai hal ini. Seboleh-bolehnya jangan melakukan perkara yang boleh
mencetuskan kemarahan mereka kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah
saudari.
|