196.Madu ugut bunuh
diri
SAYA isteri kedua dan ada pekerjaan
tetap. Masalahnya, saya sering diganggu isteri pertama yang sering menelefon
tempat kerja untuk memburuk-burukkan saya. Saya masih boleh bersabar dengan
gangguan itu sehingga beliau mengugut membunuh diri jika suami tidak menceraikan
saya dengan talak tiga.
Dia memaksa suami menandatangani
surat persetujuan menceraikan saya di depan saudara mara. Jika tidak, dia
mahu membunuh diri. Untuk menyelamatkan keadaan, suami saya terpaksa menandatangani
surat itu.
Berkali-kali suami menegaskan, dia
berbuat demikian untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan bukan dengan
kerelaannya.
Dengan surat itulah dia menjaja cerita
kami sudah bercerai dan sering mengatakan kami berzina apabila suami datang
ke rumah. Hal ini sangat memalukan dan kami sudah merujuk kepada beberapa
ustaz, tetapi mereka mengatakan perceraian itu tidak sah. Kami diminta
membawa surat berkenaan ke pejabat kadi untuk tindakan seterusnya.
Apa pendapat Datuk mengenai kes saya?
Adakah perceraian dengan menandatangani surat itu sah? Apa perlu saya lakukan
untuk menghindari gangguan madu saya?
Intan, Kuala Lumpur
JAWAPAN
Perceraian yang dilafazkan suami
secara terpaksa dalam keadaan dia mengatakannya demi menyelamatkan isteri
pertama daripada membunuh diri adalah tidak sah. Apalagi pihak suami mengesahkan
dia tidak berniat menceraikan puan.
Hanya suami sebagai ketua rumah tangga
dapat bertindak dalam hal ini. Sebagai suami, dia sepatutnya bertegas dalam
hal ini dan menyatakan kepada isteri pertama bahawa beliau tidak berniat
menceraikan puan. Malah, suami juga bertanggungjawab mendidik isteri (pertama
dan kedua) supaya tidak melakukan perkara yang boleh memecahbelahkan institusi
perkahwinan.
|