198.Suami liat dirikan
solat
SAYA sudah berkahwin lebih 10 tahun.
Suami saya baik dan bertanggungjawab, tetapi dia jarang mengerjakan solat.
Puas saya menasihatinya, namun nasihat saya ibarat mencurah air ke daun
keladi. Bagaimanapun, dia tidak pernah menghalang saya untuk menunaikan
ibadat. Namun, keadaan ini membuat hati saya tidak tenang. Apakah yang
harus saya lakukan?
Sarah,
Kuala Langat, Selangor
JAWAPAN
Solat adalah tiang agama. Orang yang
tidak bersolat sama seperti meruntuhkan agamanya. Sikap suami yang liat
mengerjakan solat, besar kemungkinan kerana tiada latihan sejak kecil.
Maka sebagai isteri, puan bertanggungjawab
mengingati suami.
Apabila sudah mengingati dan menyuruhnya,
tanggungjawab dan kewajipan puan terlaksana, walaupun suami tidak mengendahkannya.
Jika suami masih tidak melakukan
solat, dia yang menanggung dosa.
Sebenarnya sukar untuk mengubah tabiat
seseorang, apatah lagi apabila usia sudah meningkat, kecuali dengan keinginannya
sendiri.
Bahkan, Allah berfirman yang bermaksud,
“Bahawa Allah tidak akan mengubah seseorang, melainkan selepas dia sendiri
yang mengubahnya.”
Sebagai isteri, banyakkanlah berdoa
kepada Allah supaya suami terbuka hati untuk mendekati Allah.
|