Kerana dia aku mengenal al-Quran.....
Oleh: zain y.s
Alif.. Ba.. Ta... Adalah antara huruf-huruf
yang mula-mula saya dan semua muslim kenal sebagai jembatan untuk membolehkan
kita membaca al-Quran.
Setiap malam selepas maghrib, saya
bersama-sama dengan kanak-kanak kampung akan ke rumah guru al-Quran kami.
Baik lelaki atau perempuan.
Guru kami bernama Haji Jairi. Seperti
majoriti penduduk kampung lainnya, dia juga berketurunan Jawa. Menurut
ceritanya, dia berhijrah dari Batu Pahat. Barangkali ayahnya atau datuknya
yang berasal dari Tanah Jawa.
Dalam perjalanan, suasana jadi hingar
dengan suara jeritan dan gurauan kami. Meriah rasanya. Sesampainya di rumah
guru berkenaan, suasana bising dan jerit pekik masih belum reda. Selagi
belum di marah. Selagi belum dijeling oleh guru kami, maka selagi itulah
mulut belum dapat ditutup.
Elektrik belum ada lagi waktu itu.
Sekitar awal 80an. Kami guna lampu suluh dengan dua bateri. Manakala di
rumah haji Jairi, dipasang dengan lampu gasolin. Sudah cukup terang kami
rasakan. Nanti lama-kelamaan, tuan haji ini akan menggunakan genarator
elektrik yang menggunakan minyak petrol untuk kegunaan kami mengaji al-Quran.
Kampung kami agak lewat menerima
bekalan elektrik. Air, jalan tar dan kemudahan telefon juga lewat. Tidak
tahu kenapa? Nanti setelah meningkat remaja, saya terfikir dan sering merungut-rungut
kerana kemudahan asas begitu lambat masuk. Sepatutnya kampung ini patut
sudah lama ada kemudahan itu. Semua penduduknya berparti UMNO. Tidak ada
pembangkang waktu itu.
Bila ada orang yang mahu 'melawan'
sedikit, nanti ada yang kata: "Jangan, nanti kita juga yang susah. Nanti
tak dapat kemudahan asas."
Ada juga yang kata: "Nanti kalau
sudah
masuk kemudahan asas, terpulanglah mahu masuk parti mana. Untuk waktu ini,
kita UMNO sajalah.."
Sekarang, bila sudah ada semua kemudahan
itu, anak-anak muda kampung sudah mula ada yang masuk parti pembangkang.
Orang-orang kampung jadi terkejut dan tak boleh terima. Mereka tak boleh
mempraktikkan apa yang mereka pernah katakan satu masa dahulu.
Ada juga teman-teman saya yang berkata,
bahawa lambatnya masuk ke kampung adalah disebabkan oleh kuatnya UMNO di
kampung itu. Ada kemudahan ke.. Tidak ada ke.. Mereka akan pakat ramai-ramai
pangkah BN.
------------------
Bila pengajian al-Quran bermula,
semuanya masuk. Suasana jadi meriah dengan bacaan al-Quran kami. Ada yang
baru mengeja. Ada yang sudah membaca.
Haji Jairi akan menyemak seorang
demi seorang bacaan atau ejaan kami. Sampai lewat malam. Tidak seorangpun
yang dibenarkan pulang melainkan setelah semuanya selesai membuat semakan.
Waktu itu, ada yang bermain. Ada
yang mengulang bacaan. Ada juga yang tidur. Ada juga yang mengigau bila
digerakkan dari tidur.
-----------------
Haji Jairi orang lembut. Tidak bengis.
Bukanlah bermakna dia tidak pernah marah. Dia akan marah kalau kami membuat
bising. Atau jika asyik tersilap ketika semakan. Bila dia marah, kami terima.
Tidak ada ibubapa yang datang menyerangnya. Semuanya redha.
Sewaktu saya dihantar oleh ayah saya
untuk berguru dengannya, saya dibawa ke rumahnya. Saya seolah-olah diserahkan
kepadanya. Keputusan, samada diterima atau tidak, itu terserah kepadanya.
Ayah saya akan akur jika penyerahan saya kepadanya ditolak. Namun, rasanya
dia tidak pernah menolak.
Semua ibubapa akan berbuat demikian
jika mahu anaknya berguru dengan Haji Jairi.
Ketika diserahkan itu, saya rasa
cukup megah dan berbangga. Hingga tak boleh tidur malam dibuatnya. Saya
rasa saya sudah mula dewasa. Saya boleh bercerita dengan kawan-kawan seperguruan
yang lain tentang hal-hal semasa mengaji. Hal bermain. Hal-hal yang melucukan.
Setiap bulan, ayah saya ada memberi
wang. Tidaklah ditetapkan dan tidak pernah ditetapkan berapa jumlahnya.
Wang itu tidak disebutpun sebagai sedekah. Juga tidak dinamakan sebagai
upah atau sebagainya. Semuanya mengatakan, "duit minyak untuk lampu mengaji.."
Jika dikatakan sedekah, tentu tidak
diterimanya. Dia akan kata, "aku bukan orang miskin.."
Kalau disebut upah, dia akan kata,
"Ini tanggunjawab aku."
Kalau dia menolak, katakan sahaja,
"ini duit minyak.." Dia tidak akan ada alasan untuk menolaknya.
Bila ada kenduri-kendara atau bila
tiba dua hariraya, haji Jairi pasti tidak pernah dilupakan oleh orang tua
saya. Sedikit makanan akan dihantar ke rumahnya. Satu tanda penghormatan
dari orangtua kepada guru anak-anaknya. Dan, tradisi ini masih dilakukan
oleh keluarga saya, sekalipun kami adik beradik sudah lama tidak berguru
dengannya.
------------------
Haji Jairi tidak banyak cakap. Juga
tidak suka mengumpat atau mendengar umpatan. Sifatnya ini memang cukup
dikenali.
Dulu dia ada membeli peralatan seperti
speaker, amplifier dsbnya. Dia sewakan alatan itu untuk kegunaan kenduri
perkahwinan.
Setiap kali ada perkahwinan di kampung
itu akan bergemalah alunan muzik dan nyanyian dari corong pembesar suara
yang disewa dari haji Jairi.
Kemudian, alat pembesar suara itu
tidak disewakan lagi. Katanya, "hanya bantu orang buat maksiat saja."
Dulu dia adalah bilal di masjid kampung
saya. Seorang qari. Suaranya memang lunak merdu. Kalau dia mengumandangkan
azan, semuanya suka. Diam senyap dan khusyuk mendengarkannya. Kemudian
selepas ada genarasi muda yang menggantikannya, dia pun menarik diri dari
jawatan bilal. Katanya mahu beri peluang kepada orang muda.
Hubungan keluarga saya dengan keluarganya
memang akrab, sekalipun kami tidak ada hubungan kekeluargaan. Kisah hubungan
saya dan keluarga haji Jairi memang cukup panjang jika mahu diceritakan.
---------------------
Selepas saya khatam al-Quran, saya
dapat lihat, lama-kelamaan dia sudah tidak mengambil anak murid lagi. Dan
akhirnya kelas al-Qurannya ditutup.
Genarasi lama diganti dengan genarasi
baru. Genarasi lama pula ada yang terikut-ikut rentak genarasi baru. Ada
rentak yang baik. Ada yang buruk.
Lama-kelamaan ibubapa sudah tidak
lagi menghormati guru al-Quran. Kalau mahu hantar anak mengaji al-Quran,
orang tua tidak lagi datang menyerahkan anak kepada guru. Anak itu sendirilah
yang datang menyelinap masuk secara senyap-senyap. Tanpa izin. Tanpa apa-apa.
Hanya masuk dan duduk mengaji.
Itu barangkali masih tidak mengapa.
Yang lebih menjengkelkan Haji Jairi ialah sikap ibubapa modern yang tidak
boleh anak-anak mereka ditegur. "Anak aku lah yang betul."
Bila ekonomi sudah agak bagus, ibubapa
sudah mulai bongkak dan besar kepala. Semuanya mahu ringkas. Mudah dan
ambil mudah.
Kalau anaknya mahu mengaji al-Quran,
biarlah anak itu pergi. Berapa bayarannya aku tanggung. Sebut sahaja harganya!
"Aku bawa anak ini dan serahkan pada
guru ataupun tidak, bukankah sama sahaja... Yang penting aku sanggup bayar
upahnya.." "Apa guna adat tradisi menyerahkan anak kepada guru. Apa gunanya
itu dan ini.."
Haji Jairi bukan tidak sanggup dengan
karenah muridnya, tetapi tidak tahan dengan sikap kurang ajar ibubapa modern.
Akhirnya kelas al-Quran berkubur..
-----------------
Orang yang mengenalkan saya dengan
cahaya al-Quran, sekarang ini sedang terlantar mengidap kencing manis.
Badannya sudah lemah. Surau di atas tanah yang diwaqafkannya sudah tidak
mampu dikunjunginya lagi. Surau itulah buah hatinya. Surau itulah nyawanya.
Tidak ada kesedihan yang lain selain dari tidak dapat mengunjungi buah
hatinya.
Saya cukup sedih setiap kali mendengar
cerita tentang keadaannya sekarang ini. Bila saya menghubungi ibubapa saya,
antara perkara yang menjadi keutamaan saya ialah bertanya tentang keadaan
beliau.
Ketika saya dan keluarga menziarahi
rumahnya pada hariraya yang baru berlalu, dia tidak ada di rumah. Kata
isterinya, dia ke hospital untuk buat pemeriksaan. Seharian pemeriksaan
dijalankan.
Saya tidak dapat bertemu dengannya.
Dan saya berkata kepada isterinya, bahawa saya akan datang lagi untuk melawatnya.
Namun kerana kecuaian saya, sehingga saya pulang semula ke sini saya tidak
berkesempatan menemuinya. Saya cukup menyesal.
Kebetulan, sepanjang cuti di kampung
saya terpaksa berkejar ke sana dan ke sini atas beberapa urusan.
Mudah-mudahan beliau sentiasa meredhai
saya. Meredhai ilmu yang saya hirup darinya. Moga Allah memberi kesihatan
kepadanya. Panjang umur dalam kebaikan. Rahmat Allah sentiasa menyelubunginya..
Amiin!
------------------
Akhirnya, ada sesuatu yang tidak
pernah saya lupakan. Iaitu kata-katanya kepada ayah saya: "Aku malu pada
zainudin. Aku hormat pada zainudin. Sekalipun masih muda tetapi lebih berpengalaman
luas berbanding aku ini."
Sekalipun saya tahu benar bahawa
itu hanyalah kata-kata yang bukan menunjukkan hakikat sebenarnya, hanya
sekadar kata-kata mujamalah, namun ia antara perkataan paling manis yang
pernah saya dengar. Adakalanya perasaan saya terbuai-buai bila mengingat
perkataan ini.
Mana mungkin saya ini lebih berpengalaman
darinya. Mustahil sekali!! Ia adalah satu kalam yang tersirat 1000 rahsia
di sebaliknya. Hanya beliau yang tahu apa sebenarnya.
Barulah saya tahu sekarang ini, bahawa
saya amat menyintai guru saya ini kerana Allah!
Balik
semula... |