Pintar
Jawi: Program jawi rancak di Selangor
Bersama Pak Matlob
matlob@pl.jaring.my
MINGGU ini, program jawi untuk guru
dan pelajar dirancakkan kembali setelah mereka bercuti selama dua minggu.
Guru memerlukan pendedahan yang mencukupi mengenai sistem ejaan jawi mutakhir
yakni sistem Ejaan Jawi Dewan (EJD) bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran.
Pada umumnya, kebanyakan guru mendapat
latihan kaedah menulis tetapi tidak banyak pengetahuan mengenai sistem
ejaan, sama ada sistem Ejaan Za’ba (EZ) atau sistem EJD.
Murid sekolah rendah dan pelajar
sekolah menengah menghadapi dilema ejaan apabila mereka menerima dua sistem
ejaan jawi serentak. Di sekolah kebangsaan mereka diajar EJD, sebaliknya
dalam pembelajaran dan latihan menulis di sekolah agama mereka menggunakan
EZ.
Sehubungan dengan itu, guru dan pelajar
perlu mendapat pendedahan yang sewajarnya mengenai sistem ejaan jawi mutakhir.
Kemantapan penguasaan guru dan pelajar dalam bidang itu, sekali gus membantu
peningkatan markah subjek Pendidikan Islam di sekolah kerana pelajaran
jawi kini menjadi sebahagian daripada subjek Pendidikan Islam yang wajib
lulus.
Hampir 300 pelajar dan guru di Selangor
dijadual mengikuti Program Motivasi Jawi (PMJ) dan Kursus Intensif Jawi
(KIJ) masing-masing dianjur Panitia Pendidikan Islam, Sekolah Menengah
Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dan Jawatankuasa Kokurikulum Pendidikan
Islam Daerah Klang dengan kerjasama Harian Metro dan Yayasan Warisan Johor.
Selasa ini, kira-kira 70 guru dari
sekolah sekitar daerah Klang, Selangor akan mengikuti KIJ di Sekolah Menengah
Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang. Pada hari berikutnya, 24 Jun 2004
lebih 200 pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan
Seksyen 9, Shah Alam pula mengikuti PMJ di Dewan Sinar sekolah mereka.
Program jawi seperti itu, bukan saja
memberikan tambahan ilmu, tetapi turut menyemarakkan semangat cinta jawi
di kalangan generasi baru Malaysia.
::Balik::
|