SIRAH:
Panduan dapatkan manfaat ilmu pengetahuan
SESEORANG penuntut ilmu harus membetulkan
niat mereka untuk mendapat manfaat daripada ilmunya. Dalam memperbetulkan
niat, ia bermakna mereka perlu berpegang kepada empat perkara.
Pertama, mereka perlu berniat bahawa
tujuan menuntut ilmu adalah untuk membebaskan diri daripada kebodohan.
Kedua, berniat untuk memberi manfaat
kepada orang lain. Rasulullah pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah
orang yang bermanfaat bagi orang ramai.”
Ketiga, dia harus berniat untuk menghidupkan
ilmu kerana jika tidak, ilmu akan lenyap berikutan semakin ramai orang
mula meninggalkan ilmu pengetahuan.
Rasulullah pernah bersabda, “Belajarlah
ilmu sebelum ilmu itu hilang dan kehilangannya ialah dengan matinya golongan
ulama.”
Keempat, dia harus berniat untuk
mengamalkannya bukan sebaliknya kerana ilmu adalah amal.
Jika kita mencari atau mempelajari
sesuatu dengan tujuan yang bukan untuk beramal, ia adalah satu perbuatan
yang sia-sia.
Dalam mencari ilmu, seseorang itu
wajib mengharapkan keredaan Allah dan tidak boleh berniat untuk mencari
dunia. Ini kerana dikhuatiri akan terpesong daripada jalan Allah.
Allah ada berfirman mengenainya dalam
al-Quran yang bermaksud: “Siapa yang mengkehendaki keuntungan di akhirat,
Kami akan tambah keuntungan itu baginya dan siapa yang mengkehendaki keuntungan
di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian keuntungan dunia dan tidak
ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (surah As-Syuraa, ayat 20).
Rasulullah pernah bersabda, “Siapa
yang mencari ilmu bukan untuk mencari keredaan Allah, dia tidak akan keluar
daripada dunia ini hingga menjadi orang yang berniat kerana Allah Taala
dan negeri akhirat.”
Seseorang penuntut ilmu tidak boleh
kikir dengan ilmunya supaya berkat ilmu itu tidak hilang.
Apabila seseorang meminjam sebuah
kitab atau minta tolong kepadanya untuk memahami masalah, penuntut ilmu
tidak boleh menolak kerana ia menepati niatnya untuk memberi manfaat bagi
orang ramai di masa akan datang.
Abdullah Ibnu Mubarak berkata, “Siapa
yang kikir dengan ilmunya, dia akan ditimpa cubaan dengan tiga perkara
iaitu mati hingga lenyap ilmu itu, penguasa yang zalim atau lupa ilmu yang
dihafal.”
Penuntut ilmu harus menghormati ilmu.
Dia tidak boleh meletakkan kitab di atas tanah.
Jika dia keluar daripada tempat membuang
air dan ingin menyentuh kitab, ia dianjurkan berwuduk atau mencuci kedua
tangannya kemudian mengambil kitab.
Penuntut ilmu harus rela hidup sederhana
tanpa mengabaikan makan, minum dan tidur. Mereka harus mengurangkan pergaulan
terutamanya wanita.
Ini bermakna mereka jangan menyibuk
diri dengan sesuatu yang tidak perlu baginya.
Pepatah ada menyebutkan bahawa, “Siapa
yang menyibuk diri dengan sesuatu yang tidak perlu baginya, dia akan tidak
berguna baginya.”
Ditanyakan kepada Luqman al-Hakim,
“Dengan apa engkau mencapai kedudukan kamu?” Luqman menjawab, “Dengan perkataan
yang benar dan menunaikan amanat serta meninggalkan segala apa yang tidak
perlu bagiku.”
Penuntut ilmu hendaklah selalu mengkaji
dan saling membalas masalah bersama temannya atau secara bersendirian.
Yazid Ar-Raqqasyi meriwayatkan daripada
Anas bin Malik bahawa dia berkata, “Rasulullah menceritakan hadis kepada
kami, kemudian masuk ke rumahnya lalu kami saling membahasnya. Maka seakan-akan
ia tertanam di dalam hati kami.”
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai
Yahya, ambillah Al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh.” (Surah Maryam,
ayat 12). Ayat itu bermaksud belajar sungguh-sungguh dan tekun.
Disebutkan dalam pepatah bahawa kita
hendaklah belajar kerana belajar itu adalah tanaman.
Ditanyakan kepada Abdullah bin Abbas,
“Dengan apa engkau mendapat ilmu ini?”
Abdullah menjawab, “Dengan lisan
yang sering bertanya, hati yang banyak mengerti, akal yang tidak jemu dan
tangan yang suka memberi.”
Apabila terjadi pertengkaran atau
permusuhan antara penuntut ilmu dan anggota masyarakat, dia hendaklah bersikap
lemah-lembut dan adil supaya berbeza dengan orang yang jahil.
Rasulullah bersabda: “Kelembutan
tidak memasuki sesuatu melainkan ia menjadi bagus. Dan kekasaran tidak
memasuki sesuatu melainkan ia menjadi buruk.”
Seseorang penuntut ilmu harus menghormati
gurunya kerana ia akan menimbulkan berkat pada ilmunya. Jika dia meremehkan
gurunya, berkat ilmu itu akan hilang daripadanya.
Mereka juga harus bersikap lembut
kepada orang lain kerana dikatakan sebaik-baik manusia ialah yang bersikap
lembut dan seburuk-buruknya adalah yang suka berdebat.
Dikatakan bahawa penuntut ilmu akan
mendapat manfaat dengan perkataan orang alim apabila dalam diri mereka
ada tiga perkara iaitu bersikap rendah hati, cita-cita untuk belajar dan
penghormatan kepada orang alim.
Dengan tawaduknya, ilmu itu akan
berpengaruh kepadanya dan dengan cita-citanya, ia akan menghasilkan ilmu,
manakala penghormatan kepada guru akan menarik simpati ulama.
::Balik::
|