Sirah:
Sahabat rela syahid demi kasihkan Rasulullah
DALAM peperangan Badar, ramai pemuda
Quraisy mati dalam pertempuran dengan tentera Islam.
Hal itu menyebabkan kemarahan mereka
lebih-lebih lagi Sulaifah kerana beliau kehilangan dua anak lelaki. Kedua-duanya
dibunuh oleh Asim.
Sulaifah bersumpah akan meminum darah
Asim dari tempurung kepalanya. Dia menawarkan 100 unta sebagai ganjaran
kepada sesiapa yang dapat membawa kepala Asim kepadanya.
Maka, Sufian bin Khalid mengaturkan
satu rancangan untuk mendapatkan hadiah itu.
Sufian memilih beberapa lelaki daripada
puak Adhal Waqarah dan menghantar mereka ke Madinah dengan berpura-pura
masuk Islam.
Selepas sampai di Madinah, mereka
memberitahu Rasulullah bahawa mereka memerlukan beberapa orang Muslim untuk
berdakwah kepada mereka dan mencadangkan salah seorangnya iaitu Asim.
Rasulullah tanpa berasa syak memilih
10 orang (ada riwayat mengatakan enam orang) termasuk Asim untuk menyertai
kumpulan Adhal Waqarah.
Maka, bertolaklah kumpulan yang bercita-cita
untuk mendapatkan hadiah bersama-sama dengan orang Islam termasuk Asim.
Dalam perjalanan mereka diserang
oleh musuh Islam. Sahabat Rasulullah kemudiannya mendaki bukit yang bernama
Fadwah dan mereka bertahan di situ.
Oleh kerana musuh sukar untuk menawan
kumpulan orang Muslim, maka mereka berkata: “Kami menyerang kamu bukan
hendak membunuh kamu, tetapi tujuan kami hanyalah untuk menjadikan kamu
tawanan supaya kami dapat menjual kamu di Makkah.”
Sahabat Rasulullah tidak mengendahkan
kata-kata musuh sebaliknya mereka menyerang dengan melepaskan anak panah.
Apabila anak panah sudah habis, mereka menyerang dengan lembing.
Oleh kerana serangan itu kelihatan
seperti dirancang, maka Asim berkata kepada sahabat: “Nampaknya pengkhianat
itu sudah menderhakai kita. Jangan sekali-kali ia melemahkan semangat kita
sebab tujuan kita adalah syahid. Allah sentiasa bersama-sama kita dan bidadari
sentiasa menunggu kita di syurga.”
Selepas berkata demikian kepada sahabatnya,
dia kemudiannya menggunakan pedangnya untuk membalas serangan musuh.
Dalam perjuangan itu, Asim gugur
sebagai syahid. Sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia berdoa:
“Ya Allah ya Tuhanku, sampaikan berita ini kepada Rasul kami.”
Asim berkata lagi: “Ya Allah, sebenarnya
aku mengorbankan jiwa aku di jalan-Mu. Oleh itu, aku memohon kepada-Mu.
Kamu selamatkan kepala aku daripada orang kafir.”
Allah yang Maha Pengasih dan Maha
Penyayang memakbulkan permintaan Asim. Allah menurunkan wahyu kepada Rasulullah
yang menerangkan kejadian mengenai Asim dan rakan-rakannya.
Sebaik saja Asim memejamkan matanya,
maka Allah menurunkan sekumpulan lebah lalu menghurung mayat itu. (Sesetengah
riwayat mengatakan tebuan).
Oleh kerana terlampau banyak lebah
yang menghurung anggota Asim, maka pihak musuh tidak dapat menghampiri
mayat itu untuk memenggal kepalanya.
Akhirnya mereka merancang untuk memenggal
kepala Asim pada waktu malam, maka turunlah hujan dengan lebatnya menyebabkan
banjir dan tubuh Asim dihanyutkan air.
Akhirnya rancangan Sulaifah untuk
meminum darah mujahid itu dalam tempurung kepalanya digagalkan oleh Allah
yang Maha Berkuasa.
Kembali kepada pertempuran yang masih
berlaku. Daripada 10 orang Islam yang berjuang, tujuh syahid termasuk Asim
dan yang tinggal hanyalah tiga iaitu Khutbaib, Zaid bin Watnah dan Abdullah
bin Tariq.
Mereka tetap bertahan hingga pihak
musuh berkata: “Segeralah turun kamu semua dari bukit Fadwah itu, percayalah
kami tidak akan mengapa-apakan kamu.”
Menyangka kata-kata itu adalah ikhlas,
ketiga-tiga mereka turun dari bukit Fadwah. Sebaik saja mereka turun mereka
diserang dan ditawan oleh musuh.
Abdullah bin Tariq berkata: “Kamu
semua mengkhianati janji kamu. Oleh itu, aku tidak mahu mengikuti kamu.”
Apabila pihak musuh menyuruh Abdullah
berjalan dia enggan sebaliknya tetap tidak mahu bergerak, akhirnya dia
dibunuh di tempat dia duduk. Maka Abdullah mati syahid.
Khubaib dan Zaid bin Watnah dibawa
ke Makkah dan dijual kepada orang Quraisy. Safwan bin Umaiyah membeli Zaid
dengan 50 unta sementara Khubaib dibeli oleh Hujair dengan 100 unta.
Safwan membeli Zaid kerana ingin
membalas dendam kematian ayahnya yang dibunuh Zaid dalam perang Uhud. Begitu
juga dengan Hujair yang membeli Khubaib untuk membalas kematian ayahnya
yang dibunuh Khubaib dalam perang yang sama.
Pembunuhan Zaid diserahkan kepada
seorang hamba Safwan. Zaid dibawa ke satu tempat di luar Masjidil Haram
di mana orang ramai berkumpul untuk melihat pembunuhannya.
Abu Sufyan turut serta dalam keramaian
itu. Sebaik saja Zaid berdiri untuk dibunuh, Abu Sufyan berkata: “Wahai
Zaid, mahukah kamu ditukarkan tempat kamu itu dengan Muhammad dan kamu
dibiarkan balik ke rumah untuk hidup bersama keluarga kamu?”
Zaid berkata: “Demi Allah, tidak
berguna kehidupan ini kalau aku biarkan duri kecil sekalipun menikam kaki
kekasihku Muhammad.”
Orang ramai yang berada di situ tercengang
mendengar jawapan Zaid. Kemudian Abu Sufyan berkata: “Sesungguhnya kasih
sayang yang pada mereka yang mencintai Nabi tidak ada tolok bandingnya.”
Akhirnya Zaid ditikam dengan lembing
hingga mati.
Khubaib pula lama ditahan oleh Hujair,
kata seorang hamba Hujair yang kemudiannya masuk Islam.
Hamba itu berkata: “Pada suatu hari
sewaktu Khubaib dalam tahanan, aku melihat dia memakan anggur dari tangkainya
yang sebesar kepala manusia sedangkan pada masa itu bukan musim anggur
di Makkah.”
Katanya: “Apabila hari untuk membunuh
Khubaib sudah hampir maka dia meminta diberikan pisau cukur. Permintaannya
ditunaikan.”
Ketika itu, seorang kanak-kanak pergi
bermain dekat Khubaib dan ini menyebabkan penghuni rumah takut kerana mereka
menyangka Khubaib hendak membunuh budak itu.
Melihat hal itu Khubaib berkata:
“Apakah kamu fikir bahawa aku akan membunuh budak yang tidak berdosa ini?”
Selepas Khubaib dibawa ke tempat
pembunuhan, dia diberi peluang untuk menyatakan permintaan terakhirnya.
Katanya: “Aku meminta izin kamu untuk
menunaikan sembahyang dua rakaat kerana sekejap lagi aku akan meninggalkan
dunia ini untuk menemui Allah.”
Permintaan Khubaib diizinkan. Selepas
selesai Khubaib mengerjakan sembahyang dua rakaat, dengan tenang dia berkata:
“Sebenarnya aku suka hendak mengerjakan sembahyang 2 rakaat lagi, tetapi
oleh kerana aku tidak mahu menimbulkan sebarang sangkaan mengenai keberanian
aku menghadapi maut, maka aku tidak mengerjakannya.”
Kemudian Khubaib diikat dan pada
waktu itu dia berdoa: “Ya Allah, tidak ada sesiapa yang dapat menyampaikan
salam aku kepada pesuruh-Mu.”
Lalu Allah melalui malaikat-Nya menyampaikan
salam Khubaib kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah menjawab: “Waalaikum
mussalam ya Khubaib.”
Lalu Rasulullah berkata kepada sahabatnya:
“Khubaib sudah disyahidkan oleh orang Quraisy.”
Sewaktu Khubaib dibunuh, dia ditikam
berkali-kali oleh orang Quraisy yang berjumlah 40 orang. Antara mereka
mengejek dengan berkata: “Adakah kamu suka kalau tempat kamu ini ditukar
dengan Muhammad dan kami membebaskan kamu?”
Khubaib berkata: “Demi Allah yang
Maha Mulia tidak aku reda nyawaku ditebus dengan penderitaan nabi walaupun
penderitaan itu sekadar mencucuk badannya dengan duri kecil.”
Kalau zaman dulu, sahabat tidak sampai
hati untuk melihat walau sedikit pun penderitaan Rasulullah tetapi hari
ini kita sering melihat perbuatan manusia yang cukup menyakiti dan menyeksa
hati Rasulullah.
::Balik::
|