Takwil
al-Quran: Manusia sekadar pengembara di dunia
Bersama Prof Madya Dr Abdul Rashid
Ahmad
FIRMAN Allah bermaksud: ”Dan tuntutlah
dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu pahala dan
kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan
dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)
sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang
melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi;
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”. – Surah
al-Qasas, ayat 77
Dalam menghuraikan ayat di atas,
Prof Dr Wahbah al-Zuhayli, tokoh tafsir masa kini dalam tafsirnya menyimpulkan
bahawa asas-asas tamadun Islam itu ada empat perkara iaitu pertama, mengerjakan
amal salih semata-mata mengharapkan balasan pahala di akhirat, kedua, membangunkan
dunia dengan penuh rasa tanggungjawab serta tidak menindas orang lain,
ketiga, berbuat baik kepada sesama manusia dari segi material, spiritual
dan budi pekerti dan keempat, membasmi kerosakan, kemaksiatan dan kebinasaan.
Justeru, seorang Mukmin hendaklah
mentadbir dan mengurus dunia ini pada perkara yang boleh menguntungkannya
di akhirat, bukan dengan perasaan angkuh dan melampaui batas. Ia tidak
boleh mensia-sia dan menghabiskan umurnya pada amalan yang tidak salih
di dunia ini, kerana akhiratlah sepatutnya menjadi tumpuan utamanya. Jadi,
modalnya di dunia ialah umur dan amalannya yang salih iaitu dengan cara
mentaati dan mengabdikan dirinya semata-mata kepada Allah Taala yang melimpahkan
kepadanya seribu nikmat di samping tidak melakukan sebarang kedurhakaan
kepada Allah dan kerosakan di muka bumi.
Bagi menjelaskan lagi maksud ayat
di atas, tepatlah apabila Nabi Muhammad saw bersabda dalam sebuah hadisnya
yang bermaksud: ”Jadilah kamu di dunia ini bagaikan perantau/pengembara
atau pelintas jalan”. – Hadis Riwayat al-Bukhari, dalam Sahih al-Bukhari
bisyrh Fath al-Bari, Bab(3)
Seorang perantau tidak akan membawa
bersamanya dalam perjalanan kecuali apa yang diperlukan saja. Dia tidak
akan membawa semua keperluan yang ada di rumahnya, kerana kalau itu dilakukan
pasti dia tidak akan mampu berjalan atau sekurang-kurangnya akan melambat
atau menyusahkannya dalam perjalanan tersebut.
Demikianlah seorang Muslim, seharusnya
ia mengambil dunia ini sekadar untuk membantunya dalam mencapai kejayaan
di akhirat, ia hendaklah meninggalkan apa-apa yang boleh menghalangnya
daripada mencapai ketinggian di akhirat atau kedudukan yang lebih tinggi
di sana.
Seorang perantau atau pengembara
tidak akan melihat jalan itu sebagai tujuan dan matlamat, akan tetapi ia
sebagai cara atau perantaraan yang boleh membawanya kepada matlamat. Oleh
kerana itu, ia tidak akan leka dan lalai dengan pelbagai keindahan yang
terdiri daripada pokok-pokok, bunga-bungaan dan batu-batan.
Begitulah juga seorang Muslim, ia
seharusnya berinteraksi dengan dunia ini bagaikan jalan atau cara, bukan
tujuan dan matlamat. Dunia tidak sepatutnya menjadi matlamat, kerana ia
pasti akan hilang dan musnah.
Seorang pengembara akan sentiasa
menyedari bahawa pada setiap saat dan langkah ia kian bertambah jauh meninggalkan
titik permulaan yang ditinggalkan dan sekali gus kian bertambah dekat kepada
garis penamat. Sekiranya ia mengembara dengan kereta umpamanya, maka ia
sentiasa menyedari bahawa sudah berapa kilometer telah berlalu dan baki
lagi berapa kilometer. Sekiranya ia menggunakan kapal terbang, ia juga
diberitahu sudah berapa lama masa telah diambil dan berapa lama lagi tempoh
masa yang masih baki.
Demikianlah seorang Muslim, seharusnya
sentiasa menyedari bahawa setiap saat ia kian bertambah dekat dengan penghujung
perjalanan di dunia ini, kerana ia bertambah dekat dengan kematian. Manusia
dalam perjalanan hidup ini mengetahui berapa lama sudah umur yang dilaluinya,
tetapi ia tidak tahu berapa lagi bakinya. Oleh sebab itu, ia seharusnya
sentiasa bersiap sedia setiap saat untuk kematian, kerana ia tidak mengetahui
dengan pasti bilakah ia akan mati.
Kita berdoa kepada Allah SWT semoga
sentiasa diberi kesedaran dan ingatan bahawa kita bila-bila masa boleh
dipanggil kembali oleh Allah ke hadirat-Nya, maka dengan itu kita akan
memastikan ketakwaan dan keislaman kita setiap masa.
::Balik::
|